suria

Seorang Rakyat Malaysia Selamat Dalam Banjir Leh

NEW DELHI: Seorang daripada dua penunggang basikal Malaysia yang terperangkap di laluan Manali-Leh di bahagian paling utara di India akibat banjir besar berjaya kembali ke Delhi hari ini, sementara rakannya masih terkandas di wilayah Himalaya.

Anuar Amir, 39, dari Kedah tiba di Delhi dari bandar Leh di negeri Jammu dan Kashmir (J&K) yang dilanda banjir dan akan kembali ke Kuala Lumpur malam Selasa.

Namun di mana rakannya Azmiyuddin Rahmat, 41, dari Selangor, berada masih tidak diketahui.

"Saya dan Azmi terpaksa berpisah selepas Azmi mengalami kesulitan akibat berada di aras tinggi dan tidak dapat meneruskan perjalanan, tetapi saya meneruskan perjalanan dengan tiga penunggang lagi dari England, yang saya temui dalam perjalanan.

"Kami berada pada jarak kira-kira 70 km dari Leh (destinasi terakhir) bila banjir melanda kawasan yang kami lalui. Saya berikan basikal saya, alat dan perkakas mandian dan pakaian kepada seorang penjaga rumah tempatan yang kemudian memberikan saya tempat berlindung dan saya berjalan dua hari untuk sampai ke tempat paling selamat," Anuar memberitahu Bernama setibanya di Delhi pada Selasa.

Pasangan itu melakukan ekspedisi berbasikal, pengembaraan mereka yang pertama ke luar negara, untuk menguji laluan Manali-Leh sepanjang 475 km, laluan kereta yang tertinggi di dunia dan paling sukar untuk pengembara, kerana keadaan permukaan bumi di wilayah Himalaya yang berceranggah.

Dalam banjir Jumaat lepas, antara tragedi paling teruk di wilayah itu, 160 orang terkorban dan beribu-ribu kehilangan rumah.

Sekurang-kurangnya 400 orang masih dilaporkan hilang di daerah Leh, terletak dalam wilayah Ladakh di J&K, yang terkenal kerana kewujudan monasteri Buddha purba, yang merupakan tarikan utama pelancong. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Vanuatu Dilanda Gempa Bumi

Artikel Berikut

Artikel Lain