suria

Ramadan Disambut Sederhana Di Gaza

GAZA CITY: Sekalipun berdepan ancaman serangan rejim zionis Israel, lebih 1.5 juta penduduk Semenanjung Gaza menyambut ketibaan Ramadan pada Rabu dalam penuh kesederhanaan dan kesyukuran seperti umat Islam lain di seluruh dunia.

Aktiviti harian di sini masih berjalan seperti biasa dengan kebanyakan kaum Adam keluar membanting tulang mencari rezeki dan golongan Hawa mula menyediakan juadah tempatan seperti kataif (manisan) sebagai penyeri juadah berbuka.

"Ramadan tahun ini disambut seperti biasa. Pengumuman puasa akan diumumkan menerusi stesen TV dan stesen radio malam Selaa oleh Mufti Jurusalem, Akrema Sabri," kata Hana Abu Mandil, 24, sukarelawan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) kepada Bernama di sini menerusi penterjemah, sebagai mengulas persiapan penduduk Gaza menyambut bulan suci bagi umat Islam itu.

Penulis yang mengikuti rombongan Misi Kemanusiaan Ke Gaza anjuran Kelab Putera 1Malaysia dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM), menemui gadis yang berasal dari Maghazi yang terletak kira-kira 2 kilometer dari sini, di Hospital Al-Quds yang menjadi penginapan sementara 67 sukarelawan misi kemanusiaan itu.

Pasukan misi kemanusiaan diketuai Presiden Kelab Putera 1Malaysia Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, masuk ke Gaza pukul 7 malam waktu tempatan semalam (Gaza lima jam awal dari waktu Malaysia) dengan objektif utama membantu 2,000 keluarga di lima kampung di Gaza, dengan 35 doktor pakar akan ditempatkan secara sementara di empat hospital di sini, termasuk Hospital Al-Quds.

Kebiasaannya, pihak berkuasa Palestin akan mengumumkan waktu pejabat yang disingkatkan iaitu dari 8.30 pagi hingga 2.30 petang bagi membolehkan umat Islam balik ke rumah untuk berbuka puasa.

Sepertimana di tempat lain termasuk Malaysia, kaum lelaki akan pergi ke masjid menunaikan solat terawih secara berjemaah manakala kaum ibu akan berada di rumah. Bagi seorang lagi sukarelawan PRCS, Salam Ismail, 17, beliau berpendapat Ramadan adalah bulan untuk anggota keluarga berkumpul, walaupun sebilangan besar penduduk Gaza sedar akan kemungkinan mereka diancam Israel pada bila-bila masa.

Pekerja am Hospital Al-Quds, Salwa Muhamad Khatab, 35, pula berkata beliau mengharapkan Ramadan kali ini lebih baik berbanding Ramadan sebelumnya.

"Semoga Ramadan kali ini boleh membebaskan Palestin. Semoga Palestin lebih aman," kata ibu kepada lima anak yang berasal dari der Al-Balah, Semenanjung Gaza. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Vanuatu Dilanda Gempa Bumi

Artikel Berikut

Artikel Lain