suria

36 Juta Rakyat Indonesia Dijangka Balik Kampung Hari Raya Ini

JAKARTA: Indonesia telah bersiap sedia menghadapi kepadatan pergerakan kenderaan apabila sejumlah 35.97 juta orang pulang ke kampung halaman masing-masing atau "mudik" dengan menggunakan pengangkutan awam dari beberapa kota besar di seluruh negara itu bagi menyambut Aidilfitri.

Kementerian Perhubungan Indonesia, seperti biasa sudah menyediakan perancangan rapi bagi menyelia dan menyelaras pergerakan pengangkutan yang bakal memadati lebuh raya dan jalan-jalan utama dan kali ini arus pulang kampung dijangka memuncak pada 5 Sept, iaitu lima hari sebelum hari raya.

Perancangan sama turut dibuat untuk menghadapi pergerakan arus balik, iaitu pergerakan pengangkutan awam membawa warga pulang ke kota selepas sambutan hari raya iaitu mulai 17 September.

Jumlah warga yang terbabit dalam arus mudik dan arus balik itu belum mengambil kira warga yang menggunakan kenderaan persendirian, yang tidak dapat dikira jumlahnya.

Kementerian itu bagaimanapun menganggarkan lima juta kenderaan persendirian yang terdiri daripada kereta dan motosikal akan turut sama dalam arus lalu lintas sepanjang tempoh balik kampung dan pulang kembali ke kota kemudian.

Pergerakan terbesar dijangka akan berlaku di 12 wilayah terutamanya enam wilayah di Pulau Jawa seperti Jakarta, Banten, Jawa Barat dan Jawa Tengah selain Pulau Bali, Sumatera, Kalimantan dan Sulawesi.

Warga yang pulang kampung dan sebaliknya selepas cuti hari raya, akan menggunakan pengangkutan darat, laut mahupun udara.

Sejumlah 16.55 juta orang akan menggunakan perkhidmatan bas, yang menyediakan 34,358 kenderaan manakala pengangkutan laut dan kereta api masing-masing akan mengangkut 10.67 juta orang dan 3.67 juta orang.

Persiapan Kementerian Perhubungan termasuklah menyediakan lebih banyak kawasan rehat dan rawat dan pos-pos aduan pengguna jalan raya mengenai gangguan lalu lintas seperti kerja-kerja perbaikan jalan yang belum selesai serta "pasar tumpah", iaitu penjaja kecil yang belimpahan di bahu jalan semasa lalu lintas padat dengan kenderaan.

Kementerian Perhubungan turut menetapkan harga siling untuk tiket kenderaan awam, terutamanya bagi kelas ekonomi, bagi mengawal kenaikan harga dan untuk menjaga kepentingan orang ramai.

Untuk kelas atas, kerajaan menyerahkan kepada mekanisme pasar. Peningkatan tarif tiket pengangkutan mencapai lebih daripada 100 peratus dari harga biasa setiap kali musim perayaan ini.

Sementara itu Ketua Perhubungan Awam PT Kereta Api Indonesia, Sugeng Priyono berkata pada tahun ini pihaknya tidak menaikkan harga tiket kereta api kerana sehingga sebulan menjelang Hari Raya harganya sudahpun meningkat mendekati batas harga siling.

Pembelian tiket oleh penumpang dilakukan melalui cara manual di stesen kereta api atau sistem online mulai 30 hari sebelum tarikh bertolak.

Sugeng berkata jumlah penumpang kereta api mencapai kemuncak dua hari sebelum hari raya dengan sejumlah 166,889 penumpang dan arus balik pada 17 September dengan 196,040 penumpang.

Selain menawarkan 198 perkhidmatan kereta api yang biasa, syarikat itu turut menambah 28 lagi perkhidmatan kereta api bagi menampung pertambahan penumpang itu. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain