suria

Bangladesh Tawar Peluang Pelaburan Dengan Malaysia

ALOR SETAR: Bangladesh mahu usahawan Malaysia merebut peluang dalam bidang pembangunan infrastruktur dan perkilangan di negara itu.

Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, A.K.M. Atiqur Rahman berkata ini adalah lebih-lebih lagi kerana polisi kerajaan Bangladesh yang melindungi pelabur asing akan menjamin pelaburan mereka.

Beliau berkata kedua-dua bidang tersebut sedang berkembang di negaranya.

"Kerajaan Bangladesh sedang meningkatkan pembangunan infrastruktur terutama lebuh raya dan jalan raya yang menghubungkan bandar-bandar utama dan pelabuhan.

"Projek ini bertujuan menggalakkan perkembangan industri perkilangan, eksport dan industri pelancongan Bangladesh," katanya dalam temubual dengan Bernama di sini, pada Selasa.

Beliau disertai Setiausaha Pertama, Dr Md. Rezaul Bashar Siddique dan pegawai-pegawai Kedutaan Bangladesh di Kuala Lumpur.

Atiqur Rahman yang ditemui selepas memberikan taklimat peluang pelaburan di Bangladesh kepada usahawan Kedah di sini hari ini berkata pada masa ini 80 pelabur Malaysia melabur sejumlah US$1.5 bilion dalam pelbagai bidang di negaranya, antaranya industri telekomunikasi dan perkilangan.

"Bagi tahun kewangan Julai 2009 berakhir Jun 2010, eksport Malaysia ke Bangladesh bernilai US$800 juta manakala import cuma sebanyak US$62 juta," katanya.

Beliau berkata Malaysia merupakan negara pengeksport minyak sawit kedua terbesar ke Bangladesh diikuti produk petroleum dan eletronik manakala Bangladesh mengeksport pakaian, produk pertanian dan hasil laut ke negara ini.

"Dengan rakyat seramai 150 juta orang, potensi pelaburan di Bangladesh mnguntungkan," katanya.

Hubungan baik antara kerajaan, nilai pertukaran mata wang dan sebagai negara Islam, Malaysia dan Bangladesh memiliki banyak persamaan yang boleh membantu meningkatkan perdagangan dua-hala," tambahnya.

Atiqur Rahman berkata beliau merancang memberikan penerangan serupa kepada usahawan Malaysia di setiap negeri dan setakat ini telah berbuat demikian di Pulau Pinang, Sabah, dan Sarawak.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Yang DiPertua Dewan Perniagaan dan Perusahaan (DPP) Melayu Kedah, Ir Ahmad Fitri Othman, Presiden DPP India Kedah, Sham S. Ratnani dan Timbalan Presiden DPP Cina Kedah, Datuk Sunny Hoe. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain