suria

Pengeboman Di Uganda, 64 Terbunuh

KAMPALA: Beberapa letupan bom memusnahkan dua buah bar yang penuh sesak dengan para peminat bola sepak sedang menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia di ibu negara Uganda Ahad malam, menyebabkan 64 orang terbunuh.

Polis berkata pada Isnin, serangan itu mungkin mempunyai kaitan dengan puak pemisah Islam Somalia.

Seorang rakyat Amerika adalah antara yang terbunuh dalam kejadian pengeboman di Kampala pada Ahad malam. Presiden AS, Barack Obama yang mengutuk serangan itu berkata, Washington kini bersedia untuk membantu Uganda memburu mereka yang bertanggungjawab melakukan serangan itu.

Setakat ini belum ada pihak mengaku bertanggungjawab. Kumpulan militan al Shabaab di Somalia yang mendapat pengaruh daripada kumpulan al Qaeda, mengancam untuk menyerang Uganda kerana menghantar pasukan tentera pengaman ke negara bergolak itu bagi membantu mengukuhkan kedudukan kerajaan yang disokong Barat.

Salah satu letupan bom berlaku restoran Ethiopian Village di daerah Kabalagala, sebuah pusat hiburan popular yang penuh sesak dengan peminat-peminat bola sepak dan pelancong-pelancong asing. Serangan kedua berlaku ke sebuah kelab ragbi yang sedang menayangkan perlawanan akhir Piala dunia itu.

Dua serangan bersepadu itu mempunyai ciri-ciri serangan kumpulan al Qaeda dan kumpulan-kumpulan yang mempunyai jaringan militan dengan Osama bin Laden.

“Enam puluh empat mangsa disahkan terbunuh. Lima belas orang di restoran Ethiopian Village dan 49 lagi di Kelab Ragbi Lugogo. Tujuh puluh satu mangsa yang lain cedera,” kata jurucakap polis, Judith Nabakooba.

Menurutnya 10 daripada mangsa yang terbunuh dipercayai sama ada warga Habsyah atau Eritrea. Terdahulu, kenyataan dari kedutaan AS di Kampala berkata, seorang warga AS terbunuh dalam serangan bom itu.

Mangsa-mangsa terselamat yang sebelum itu sedang berpesta menjelang saat-saat akhir tamatnya perlawanan akhir bola sepak antara pasukan Sepanyol dan Belanda, kelihatan terpinga-pinga dalam suasana kemusnahan dengan kerusi dan meja bertaburan serta mayat-mayat yang bergelimpangan.

“Kami sedang menyaksikan perlawanan bola sepak di sini dan kemudian itu, menjelang tiga minit sebelum perlawanan tamat, tiba-tiba kedengaran bunyai letupan yang amat kuat,” kata Juma Seiko, salah seorang saksi yang berada di kelab ragbi.

Pasukan polis yang bersenjata mengepung tempat-tempat kejadian dan memeriksa kawasan-kawasan itu dengan bantuan anjing-anjing pengesan manaka mangsa-mangsa yang terselamat membantu membawa keluar mereka yang cedera.

Polis percaya besar kemungkinan mereka yang melancarkan serangan-serangan di restoran Ethiopian Village dan kelab ragbi itu sebenarnya menyasari pelancong-pelancong asing.

Askar-askar Habsyah menyerang dan menakluk Somalia pada 2006 untuk menyingkirkan pergerakan Islam di Mogadishu, lalu mencetuskan pemberontakan puak Islam yang masih berterusan hingga sekarang. – Reuters

Artikel Lain