suria

Tiga Kapal India Singgah Di Malaysia

PELABUHAN KLANG: Dua kapal pemusnah tentera laut India, INS Rana dan INS Ranjit serta armada kapal tangki INS Jyoti tiba di Terminal Star Cruise di Pelabuhan Barat di sini hari ini untuk lawatan muhibah selama empat hari.

Pegawai Pemerintah Armada Timur, Laksamana Muda P. Murugesan berkata lawatan itu menunjukkan pentingnya hubungan lama antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Laut India.

Katanya lawatan itu juga bagi menjalin kerjasama maritim antara kedua-dua negara.

"Saya percaya tentera laut kedua-dua negara ini mempunyai skop kerjasama yang luas bagi mewujudkan persekitaran maritim yang selamat agar kemajuan perdagangan antara dua negara dapat dipertingkatkan.

"Kami juga akan mengadaklan latihan keselamatan maritim dengan TLDM pada hari terakhir lawatan pada Rabu ini," katanya pada sidang akhbar di sini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Vijay Gokhale.

Sempena dengan lawatan itu, Murugesan dan pegawai pemerintah kapal tersebut dijadual mengadakan pertemuan dengan pegawai tinggi tentera dan pembesar awam di sini.

Banyak interaksi sosial juga dirancang untuk anggota tentera laut itu termasuk kegiatan sukan, pembersihan pantai, memberi khidmat komuniti di rumah warga tua dan khemah perubatan.

Kapal itu juga akan dibuka kepada orang ramai untuk membuat lawatan selama dua hari mulai esok.

Kesemua kapal itu, yang mempunyai lebih 600 pegawai dan anggota, dijangka pulang ke perairan India pada 30 Jun ini selepas mengadakan lawatan selama 15 hari di lapan buah negara termasuk Australia, Indonesia, Thailand dan Vietnam. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain