suria

Selepas 60 Tahun, Perdamaian Masih Melangkau Lembah Kashmir

SRINAGAR: Kebuntuan dalam politik Kashmir masih jauh daripada penyelesaian. Walaupun selepas 60 tahun, yang merangkumi semua dan penyelesaian bijak bagi perdamaian dan kemajuannya masih belum kelihatan di kaki langit.

Hampir tiga generasi telah menderita dalam pertikaian di wilayah Kashmir yang begitu luas, subur dan rantau Himalaya yang dilimpahi dengan sumber, diapit oleh India dan Pakistan, dua tetangga yang sering bertelingkah antara satu sama lain.

Kini, dari dataran lembah ke pergunungan Kashmir, rakyat Kashmir yang letih dan kumpulan pemisah yang pernah berjuang bermati-matian untuk sebuah negara Kashmir yang merdeka dan juga golongan elit politiknya sendiri, hanya mahu bergerak dan menikmati perdamaian, satu komoditi yang begitu halus dan sukar di bumi mereka secara berdekad lamanya.

Rundingan damai yang tidak terkira jumlahnya antara India dan Pakistan, bagi bersaing merebut Kashmir mahupun sebelum 1947 kerana mereka mahu berkuasa demi masa depan Kashmir, telah gagal mencapai kesepakatan yang kekal.

Rundingan mereka, dikatakan, kerap kali dibayangi agenda politik yang lebih besar yang cuma diketahui mereka, dan ini menyebabkan rakyat Kashmir kerap putus asa.

Dan dengan 20 tahun kekacauan, yang bermula pada 1989, kesengsaraan mereka lebih parah apabila kumpulan pemisah bersenjata berjuang menentang pemerintahan India, merubah Kashmir menjadi zon sengketa, di mana hampir 50,000 orang terkorban.

Masalah Kashmir bermula pada masa India dipecahkan pada 1947, apabila dibentuk sebagai tempat bagi orang Islam India. Kashmir dibahagikan - dan kekal terbahagi - antara kedua buah negara.

India mendakwa bahawa Kashmir yang didominasi oleh orang Islam merupakan kawasan penting dalam negara itu. Pakistan melihat Kashmir hanya sebagai satu tugas pemisahan yang belum selesai. Kebanyakan penduduk Kashmir hanya ingin ditinggalkan bersendirian oleh kedua-dua belah pihak.

Di bumi di mana tumbuhnya epal, strawberi yang lazat dan kunyit yang begitu banyak, tanahnya belum begitu subur untuk sebuah perdamaian yang mekar, seperti yang dijelaskan oleh seorang peniaga tempatan.

"Kashmir sedang berjuang untuk hak kelahirannya. Ini merupakan kehidupan Kashmir untuk 60 tahun kebelakangan ini, tiada keamanan, tiada kebebasan dan tiada indentiti. Sekurang-kurangnya tiada sikap militan sekarang, saya boleh membuka kedai saya hingga 7 malam. Sebelum ini saya tutup kedai pada pukul 2 petang," kata Mohd Irfan, seorang peniaga pakaian yang berumur lingkungan 50an, dalam loghat Srinagar Lal Chowk.

Walaupun minoriti 3,000 atau lebih pendita Kashmir (berbanding 700,000 sebelum 1989), penduduk asal lembah itu, yang meninggalkan kediaman dan harta mereka semasa kemuncak kekacauan, kerana mahukan keharmonian.

"Sejak 20 tahun lepas, penggiat politik sering mengembar-gemburkan semangat pro-India atau kumpulan pro pemisah, tapi tanpa pelan perdamaian yang konkrit. Rakyat Hindu yang menderita, di lembah itu. Rakyat Hindu merupakan penduduk majoriti (di sini) sementara di orang Islam merupakan minoriti di Jammu. "Kami tidak mahu anak kami menanggung persengketaan ini sehingga generasi seterusnya," kata Sanjay Tickoo, Presiden Kashmiri Pandit Sangarsh Samiti yang berpangkalan di Srinagar, sebuah pergerakan sosio politik Hindu.

Bumi Kashmir benar-benar memukau dengan gunung ganag yang diliputi salji, sungai yang mengalir semula jadi, hamparan bunga mawar dan tulip, perkampungan rumah musim sejuk dan wanita cantik bertudung mampu mencairkan hati dan imaginasi seseorang. Sehingga ada sesetengah orang menggelarnya sebagai "syurga bumi".

Kini kekacauan semakin berkurangan, ia telah memberikan kelegaan kepada penduduknya. Tetapi golongan militan masih mengancam perkampungan terpencil dan mensasarkan pegawai tentera mengancam keamanan yang rapuh - di mana India cuba mengekalkan 700,000 anggota tentera yang dikerahkan di sekitar rantau itu.

"Kashmir kini dalam peralihan, daripada keganasan kepada kedamaian. Untuk tiga generasi terdapat begitu banyak ketidak stabilan, kini rakyat Kashmir mahukan kedamaian, mahu hidup seperti orang lain tetapi keamanan memerlukan asas, ia tidak boleh dicipta melalui kekosongan" kata Yasin Malik, pengerusi parti pro kemerdekaan yang utama, Jammu and Kashmir Liberation Front (JKLF), yang pernah dipenjarakan selama 10 tahun.

Bercakap dari ibu pejabatnya yang usang, beliau berkata: "Jadi, seperti yang kami katakan sebelum ini apabila Pakistan dan India berbincang mengenai Kashmir, mereka mesti memasukkan kebimbangan sebenar rakyat Kashmir. Adalah sedih bahawa rakyat Kashmir telah menjadi mangsa konflik ini."

Ideologi perdamaian Yasin boleh menjadi satu impian yang sukar dicapai walaupun sekarang, memandangkan India dan Pakistan, terbabit dalam isu hangat yang lain, dan masih berusaha memulihkan hubungan sejak serangan pengganas di Mumbai pada 2008.

Walaupun bertahun-tahun rundingan diplomatik diadakan, ahli politik dan kumpulan pemisah arus perdana, berharap bahawa dialog perdamaian yang dicadangkan baru-baru ini antara jiran-jiran mereka, yang dijadual pada Julai, mungkin merintis jalan untuk keamanan Kashmir yang berkekalan.

Bahkan Ketua Menteri Jammu dan Kashmir (J&K) Omar Abdullah berhati-hati mentakrifkan masa depan tanahairnya, sambil menegaskan bahawa mandat politik parti pro-Indianya National Conference Party akan menjadi autonomi untuk kesemuanya kecuali mata wang, komunikasi, pertahanan dan hal ehwal luar di mana mereka akan kekal dengan kerajaan pusat.

"Kami akan cuba menghilangkan parut sejak 20 tahun kebelakangan ini," katanya sambil menambah bahawa tiada penyelesaian tunggal diperolehi untuk isu yang menjadi duri dalam daging kerana ia membabitkan wilayah georgrafi yang pelbagai dengan pelbagai kumpulan agama.

"Jangan pula lupa Jammu dan Kashmir bukan setakat Kashmir, walaupun masalah umumnya di sini (Srinagar). Oleh itu, perhatian mesti ditumpukan di sini.

"Jammu dan Kashmir adalah juga Jammu (majoriti Hindu), Kashmir (orang Islam), Kargil (Orang Islam) dan Ladakh (penganut Buddha). Adalah penting bahawa sebarang penyelesaian yang diambil mesti mengambil kira kesemua wilayah ini (dan penduduknya)," katanya.

All Parties Hurriyat Conference berfahaman sederhana dan berpengaruh berkata perdamaian sementara tidak bermakna bahawa "semuanya baik di lembah itu".

Kebencian terutama di kalangan generasi muda, masih tinggi, yang kerap membawa kepada tunjuk perasaan di jalanan dan melontar batu di Srinagar.

"Anda tidak boleh mempunyai satu penyelesaian mengenai isu-isu tradisi yang kerap berulang bagi Kashmir, anda perlu berfikir di luar kebiasaan.

"Isu Kashmir bukan setakat masalah agama antara Hindu dan orang Islam, ia juga bukan masalah pentadbiran atau masalah tadbir urus yang baik atau buruk (mahupun) hanya isu dua hala. Ia mengenai aspirasi rakyat" kata pemimpin Hurriyat Mirwaiz Umar Farooq.

Usaha Kashmir yang begitu sukar ke arah perdamaian masih menyelubungi gunung ganang Himalaya dan semuanya bergantung sama ada pemimpin politik mahu mengorak langkah untuk mencari penyelesaian demi manfaat semua. - BERNAMA

Artikel Lain