suria

Tentera Kuasai Semula Kawasan Perhimpunan Penunjuk Perasaan

BANGKOK: Pasukan keselamatan Thailand mengambil alih pusat bandar raya ini daripada para penunjuk perasaan antikerajaan pada pukul 2 petang ini sejurus selepas pemimpin kumpulan Baju Merah mengisytiharkan berakhirnya perhimpunan mereka di kawasan berkenaan.

"Saya memohon maaf kepada anda semua kerana tak mahu berlaku lebih banyak kerosakan. Saya isytiharkan perhimpunan ini ditamatkan," kata pemimpin Baju Merah Jatuporn Prompan di pentas utama pada kira-kira pukul 1.15 tengah hari.

Selepas itu, beliau bersama enam pemimpin lain, termasuk Dr Weng Tojirakam dan Natthawut Saikua, menyerah diri dan diiringi anggota tentera ke ibu pejabat polis Thailand.

Ketika askar mara ke pentas utama itu, pertarungan sengit berlaku dan terdengar sekurang-kurangnya 10 ledakan bom serta roket.

Sejurus selepas pengumuman itu dibuat, pertempuran antara para penunjuk perasaan dan tentera terus berlaku apabila beberapa penunjuk perasaan tegar melepaskan tembakan dan melancarkan bom kepada anggota pasukan keselamatan.

Beberapa penunjuk perasaan juga melakukan rusuhan dengan membakar tayar di tengah jalan raya menghala ke pentas utama dan menyekat pergerakan lalu lintas di kawasan itu.

Pada pukul 3 petang, jentera berat mula memasuki kawasan itu bagi membersih dan mengalih longgokan tayar, buluh runcing dan kawat berduri yang digunakan para penunjuk perasaan bagi membuat sekatan jalan raya.

Tentera terus berwaspada kerana percaya kemungkinan terdapat bom dalam longgokan itu.

Di Persimpangan Ploenchit, letupan bom dan tembakan berlaku ketika tentera cuba mengalihkan sekatan jalan raya di situ. Letupan bom dan bunyi tembakan juga masih kedengaran di beberapa bahagian lain di bandar raya ini.

Kebanyakan penunjuk perasaan menggunakan laluan selamat dari pentas utama untuk berhimpun di Stadium Nasional yang terletak bersebelahan tapak perhimpunan itu.

Walaupun kerajaan menyediakan laluan selamat dan bas bagi membawa mereka ke stadium berkenaan, namun ada juga yang melarikan diri dari situ dan sesetengahnya ditangkap.

Kerajaan belum mengumumkan jumlah rasmi mereka yang maut atau cedera pada hari ini.

Bagaimanapun, sekurang-kurangnya empat orang dipercayai meninggal dunia, termasuk seorang wartawan Itali dalam operasi tentera hari ini.

Dia ditembak di bahagian perut dan meninggal dunia ketika dibawa ke hospital.

Menurut rakannya, wartawan malang itu bernama Fabio Polenghi, 48, dan bertugas secara sambilan dengan beberapa akhbar dan majalah terkemuka Itali.

Penunjuk perasaan mula membanjiri jalan raya pada 12 Mac bagi menuntut kerajaan membubarkan Parlimen dan mereka menguasai jambatan Ban Fa selama lebih kurang tiga minggu sebelum mengubah tempat perhimpunan ke kawasan seluas empat kilometer persegi di pusat bandar raya ini pada 3 April.

Tindakan mereka itu menyebabkan kompleks beli-belah mewah, hotel lima bintang dan pejabat penting di kawasan berkenaan hampir ditutup sepenuhnya.

Sementara itu, di luar Bangkok, beribu-ribu anggota Baju Merah menyerbu dewan bandar raya di Khon Kaen dan Udon Thani sebagai tindak balas terhadap gerakan tentera itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain