suria

Keadaan Keselamatan Di Bangkok Amat Tegang

BANGKOK: Keadaan keselamatan di Bangkok amat tegang dengan empat orang terkorban dan 81 yang lain termasuk tiga wartawan cedera ketika keganasan berterusan.

Menurut jurucakap Pusat Perubatan Darurat Erawan (EEMC) di sini, kesemua mereka yang terkorban dan cedera adalah orang tempatan kecuali Nelson Rang, wartawan Kanada yang bertugas dengan TV 24 Perancis.

Yang maut dikenali sebagai Intaeny Teswong, 33; Sanea Nillueng; Piyaponp Kitiwonp; dan Prachuab Sirapant. Mereka mati akibat terkena tembakan senapang.

Lebih banyak letupan bom dan tembakan kedengaran dari masa ke masa hari ini berbanding semalam.

Penunjuk perasaan anti-kerajaan kemeja merah enggan bersurai dari satu kawasan pusat bandar seluas tiga km persegi yang mereka duduki sementara kerajaan berikrar akan meneruskan operasi tentera di kawasan itu dalam usaha untuk mengurangkan bilangan penunjuk perasaan.

Menteri di Pejabat Perdana Menteri Sathit Wongnongtoey berkata malam ini cara terbaik menyelesaikan masalah ialah menghentikan tunjuk perasaan.

"Kami akan terus berjuang untuk demokrasi dan untuk empat rakan kami yang telah terkorban setakat ini," kata Natthawut Saikua, ketua kumpulan kemeja merah.

Penunjuk perasaan itu telah membakar sebuah bas awam, dan memusnahkan dua trak meriam air tentera. Bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra dalam satu kenyataan merayu agar dicari penyelesaian damai terhadap pertikaian berkenaan.

Penunjuk perasaan itu mendesak kerajaan membubarkan parlimen. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain