suria

Larangan Merokok Di Semua Tempat Awam Di China Mulai 2011

BEIJING: China akan mengenakan larangan merokok di semua tempat awam yang tertutup termasuk pejabat dan kenderaan awam selaras dengan Rangkakerja Konvensyen Mengenai Kawalan Tembakau (FCTC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia mulai Januari tahun depan.

Pengarah jabatan kesihatan masyarakat Kementerian Kesihatan Yang Qing berkata institusi perubatan dan pentadbiran kesihatan di seluruh negara akan memulakan langkah larangan merokok itu mulai bulan ini, dan berharap separuh daripadanya akan menjadi zon bebas rokok menjelang Oktober ini.

"Petugas kementerian kesihatan digalak untuk berhenti merokok, bonus 500 yuan akan diberi kepada mereka yang berhenti merokok tahun ini, manakala mereka yang melanggar larangan merokok di tempat tertutup akan didenda," katanya pada sidang akhbar di sini.

Kementerian kesihatan juga melarang petugasnya daripada memberi dan menerima bahan tembakau sebagai hadiah.

Menurut statistik kementerian, China kini mempunyai 350 juta perokok, yang kebanyakannya adalah lelaki, tetapi kini merokok juga mula menjadi trend wanita muda.

Kerajaan China menandatangani FCTC pada 2003 dan disahkan oleh perundangan negara itu pada 2005. Sejak itu kerajaan tempatan dan pusat meningkatkan kempen anti merokok.

Yang berkata kerajaan kini merangka untuk memperketatkan undang-undang anti merokok bagi memastikan keberkesanan kempen itu.

Undang-undang yang dijangka dikuatkuasa itu termasuk larangan sumbangan atau tajaan dari syarikat tembabakau untuk ekspo, festival dan acara sukan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain