suria

India Benarkan Ibu Prabhakaran Yang Sakit Jalani Rawatan

NEW DELHI: Selepas pertikaian politik, kerajaan India memberi kebenaran kepada ibu kepada pemimpin Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) Velupillai Prabhakaran yang mati dibunuh, memasuki negara ini untuk menjalani rawatan.

Ketua Menteri Tamil Nadu M. Karunanidhi hari ini mengumumkan pada sidang dewan undangan negeri bahawa kerajaan memberikan kebenaran kepada Parvathi Ammal untuk masuk ke India, tetapi dengan syarat ketat.

Bulan lepas, pegawai imigresen India menghantar pulang Parvathi, 80, yang menghidap kelumpuhan, apabila beliau tiba di lapangan terbang Chennai dari Kuala Lumpur.

Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur telah dimaklumkan mengenai keputusan kerajaan menarik balik larangan itu, kata Doordarshan, juruhebah stesen penyiaran milik kerajaan, memetik kenyataan Karunanidhi.

Oleh kerana nama Parvathi tersenarai dalam "Senarai Pekeliling Amaran" India, pegawai enggan membenarkan warga emas itu mendapatkan rawatan perubatan di sebuah hospital di selatan India.

Penghantaran pulang wanita itu telah mencetuskan kemelut politik di selatan dan kerajaan didesak membenarkan wanita itu masuk atas alasan kemanusiaan.

Namun Karunanidhi berkata kebenaran itu diberikan dengan syarat bahawa wanita itu tidak boleh berhubungan dengan mana-mana parti politik dan hanya terhad di hospital sahaja, kata Doordarshan.

LTTE melancarkan serangan berdarah terhadap kerajaan Sri Lanka bagi mendapatkan sebuah negeri merdeka bagi penduduk minoriti Tamil di utara negara pulau itu, tetapi perjuangan mereka berakhir selepas dikalahkan tentera kerajaan, dan Prabhakaran terbunuh pada hari terakhir pertempuran pada Mei lepas, menamatkan perang saudara selama 25 tahun. - BERNAMA

Artikel Lain