suria

Suami Ditahan Di Penjara Wanita Kerana Pertikaian Indentiti Kelamin

JAKARTA: Seorang suami berusia 32 tahun, yang mempertahankan bahawa beliau lelaki sejati, sedang ditahan di Penjara Wanita Pondok Bambu, Jakarta Timur sejak 30 April sementara menunggu perbicaraan kes pemalsuan indentiti jenis kelamin.

Alterina Hofan, yang dicatatkan dalam sijil lahir sebagai perempuan, kini berdepan tuduhan memalsukan identiti jantina bagi mengahwini isterinya Jane Deviyanti, 23, setelah, mertuanya membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Sewaktu ditemui pemberita di luar penjara hari ini, Jane, seorang wanita cacat pendegaran dan pertuturan, merayu agar suaminya dapat dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu perbicaraan.

Peguam Alterina, Ibu Siena Bantayan yang ada bersamanya di luar penjara itu turut mempersoalkan kenapa anak guamnya perlu ditahan di penjara sedangkan beliau memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis semasa siasatan kes itu sebelum ini dan tidak pernah melarikan diri.

"Polis telah menyita sijil kelahiran, kad pengenalan, kad keluarga, pasport, sijil nikah, ijazah beliau dengan alasan sebagai barang bukti dan agar beliau tidak boleh pergi ke mana-mana," katanya.

Ibu Siena juga menegaskan bahawa Alterina ialah seorang lelaki dan bukan seorang wanita sebagaimana yang dituduhkan dan anak guamnya itu tidak pernah memalsukan identitinya.

"Dia mengatakan sesungguhnya yang tahu tentang dirinya adalah dia sendiri, bukan orang lain. Orang lain kan tidak tahu secara fizikal dan pribadi dia. Itulah yang harus kita perbetulkan bersama," katanya.

Alternia yang ditemuramah sekumpulan wartawan media tempatan di penjara itu semalam menegaskan bahawa beliau seorang lelaki sejati dan mempunyai alat kelamin lelaki yang berfungsi baik.

Beliau juga mendakwa tidak mempunyai organ kelamin wanita dan tidak mempunyai rahim.

Penjara Wanita Pondok Bambu juga, katanya, telah pada mulanya menolak untuk menerimanya berikutan pemeriksaan jantina yang dijalankan ke atas tubuhnya namun akhirnya beliau ditahan juga di situ.

Alterina yang dilaporkan mengidap sindrom Klinefelter, iaitu memiliki dua kromosom wanita dan satu kromosom lelaki, sebelum ini ditahan di ruang tahanan Pejabat Pendakwa Raya di sini setelah Penjara Cipinang (penjara lelaki) enggan menerima beliau kerana identiti jenis kelamin.

Alterina dikatakan didaftarkan oleh ibu bapanya sebagai perempuan dalam sijil kelahirannya semasa dilahirkan 32 tahun lalu kerana semasa itu belum kelihatan sifat-sifat kejantanannya.

Sindrom Klinefelter yang dihidapinya itu, kata Alterina, turut menyebabkan beliau mempunyai payudara tetapi beliau telah membuangnya melalui pembedahan di Kanada pada 2006.

Berikutan itu, katanya, Pejabat Pendaftaran Sivil Jayapura di Papua, telah mengeluarkan surat perubahan identiti jenis kelaminnya dari perempuan kepada lelaki.

Alterina dan Jane dilaporkan berkahwin di Las Vegas, Amerika Syarikat pada tahun 2008 tanpa restu daripada ibu bapa Jane. - BERNAMA

Artikel Berikut

Gempa Bumi 6.4 Gegar Chile

Artikel Lain