suria

Malaysia Contoh Terbaik Dalam Pengendalian Hak Kaum Peribumi

PAMPANGA (Filipina): Malaysia merupakan contoh terbaik di rantau Asia-Pasifik dalam pengendalian hak kaum peribumi, kata Setiausaha Agung Persidangan Ahli-Ahli Parlimen Asia Pasifk mengenai Alam Sekitar dan Pembangunan (APPCED) Datuk Dr Marcus Mojigoh.

Beliau berkata Malaysia menggunakan pendekatan proaktif dalam menjaga hak dan kebajikan mereka melalui pelbagai program termasuk pembasmian kemiskinan dan buta huruf sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Wawasan 2020.

Mojigoh, yang juga anggota Parlimen Malaysia bagi kawasan Putatan berkata kerajaan Malaysia juga mengiktiraf Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hak Kaum Pribumi berhubung hak masyarakat itu dalam tanggungjawab mengasuh, melatih, mendidik dan memastikan kesejahteraan anak-anak mereka.

Ini terbukti dengan usaha kerajaan dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi kaum Orang Asli dan masyarakat peribumi di Sabah dan Sarawak, katanya semasa membentangkan kertas kerja bertajuk "Masyarakat Peribumi: Identiti Kebudayaan dan Cabaran Pembangunan" sempena seminar mengenai kaum peribumi di rantau Asia Pasifik di sini hari ini.

Mojigoh yang mewakili Malaysia pada seminar itu berkata dasar-dasar kerajaan, antara lain, menumpukan pada usaha pembangunan bersepadu di kawasan luar bandar bagi meningkatkan taraf kehidupan masyarakat peribumi.

"Kami menjaga kebajikan mereka dari dalam kandungan sehingga ke liang lahad. Kami menyediakan banyak program bagi mereka. Sebagai contoh, kemudahan perumahan, sekolah dan kesihatan dibina berdekatan dengan perkampungan masyarakat pribumi supaya mereka tidak perlu pindah ke kawasan bandar.

"Hasilnya, kadar mortaliti telah menurun dan kemiskinan dibasmi dan melalui pendidikan, mereka mempunyai daya kawalan yang lebih tinggi terhadap kehidupan mereka," katanya.

Mojigoh berkata banyak daripada mereka telah berjaya merebut peluang yang ditawarkan melalui pendidikan dan pada masa yang sama, menghormati dan mematuhi adat resam kampung mereka, membuktikan kehidupan moden dapat diselaraskan dengan kehidupan tradisional.

Selain daripada membantu Orang Asli di Semenanjung Malaysia, katanya kerajaan sekarang di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak gigih berusaha membangunkan kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak "di mana terdapat banyak penduduk peribumi".

Katanya berdasarkan statistik Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), pada ketika ini terdapat 141,230 Orang Asli di Semenanjung Malaysia, dengan Pahang mempunyai jumlah tertinggi sebanyak 50,792, diikuti Perak (40,856) dan Selangor (15,210). Dalam menghadapi pelbagai cabaran di masa depan, Mojigoh mencadangkan tanggungjawab membangunkan Orang Asli tidak harus diserahkan sepenuhnya kepada JHEOA.

Sebaliknya, pendekatan pelbagai agensi perlu diguna pakai, dengan unit khas Orang Asli ditubuhkan di setiap agensi berkaitan untuk mengendalikan keperluan sosial dan ekonomi masyarakat itu, katanya.

Bagi kaum peribumi di Sabah dan Sarawak, beliau berkata satu daripada cabaran terbesar yang dihadapi kerajaan ialah menyelesaikan pertikaian atau konflik berhubung tanah dan sumber.

Mojigoh berkata disebalik kewujudan pelbagai undang-undang dalam melindungi hak pemilikan tanah di Sabah dan Sarawak, "daripada segi amalannya, negeri berkenaan berjaya memanfaatkan sebahagian besar tanah itu untuk tujuan pembalakan, projek pembangunan dan komersil".

Katanya konflik itu bermula daripada pelaksanaan dua undang-undang bagi pemilikan tanah sebelum merdeka iaitu undang-undang rasmi dan undang-undang tidak rasmi berdasarkan adat resam masyarakat peribumi.

APPCED merupakan persidangan anggota Parlimen bagi negara-negara di dalam kawasan Asia Pasifik untuk membincangkan isu berkaitan alam sekitar dan pembangunan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain