suria

Tunjuk Perasaan Sebelum Tayangan Filem Shah Rukh Khan

NEW DELHI: Oleh kerana terlalu marah dengan kenyataan Shah Rukh Khan, filem terbaru lakonan superstar Bollywood ini yang bertajuk "My Name is Khan" yang bakal ditayangkan Jumaat ini, turut menjadi mangsa penunjuk perasaan.

Puak aktivis sayap kanan hari ini dilaporkan merosakkan banyak pawagam di Mumbai, ibu kota perfileman Bollywood yang bakal menayangkan filem tersebut.

Kemarahan aktivis dari Parti Shiv Sena, komponen barisan Marathi pimpinan Bal Thackeray dilaporkan berlaku berikutan kenyataan Shah Rukh yang menyokong pemilihan pemain Pakistan dalam kejohanan kriket Liga Premier India.

Semasa mempromosi filem My Name is Khan bulan lalu, Shah Rukh yang juga pemegang francais pasukan kriket Kolkata Knight Riders dalam liga tersebut, berkata beliau berharap pemain kriket Pakistan dapat bermain di dalam liga itu pada edisi akan datang.

Polis Mumbai hari ini terpaksa menghalang ratusan penunjuk perasaan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Saluran televisyen India menunjukkan kira-kira 1,000 aktivis ditahan polis sementara banyak cineplex di Mumbai enggan mengambil tempahan lebih awal untuk orang ramai menonton filem tersebut.

"Ia merupakan kerugian kepada industri filem. Sebarang perkara yang berbentuk peribadi tidak boleh diseret ke dalam bisnes ini (perfileman)," kata naib presiden Persatuan Pengeluar Filem India yang berpangkalan di Mumbai, Sushma Shiromani kepada Bernama.

Walaupun terlibat dengan kontroversi tersebut, namun Shah Rukh, 44, tidak merasa tertekan atau meminta maaf berhubung kenyataanya itu, yang mana ini memuncakkan lagi kemarahan para pemimpin Shiv Sena.

Dalam filem terbarunya itu yang diarahkan oleh Karan Johar, Shah Rukh berlakon bersama Kajol.

Dilaporkan ia akan turut ditayangkan di Amerika Jumaat ini.

Menurut sinopsisnya, Shah Rukh berlakon sebagai seorang warga India Islam yang tinggal di Amerika, mendapati perkahwinannya dengan seorang wanita Hindu yang dimainkan oleh Kajol, menjadi retak selepas kejadian 9/11.

Artikel Lain