suria

Kerajaan Arab Saudi Anggap Musim Haji Tahun Ini Satu Kejayaan

MEKAH: Dengan berakhirnya musim haji ini selepas 2.5 juta jemaah meninggalkan Mina untuk ke Mekah untuk mengerjakan tawaf dan sae di Masjidil Haram bagi menyempurnakan ibadah.

Kerajaan Arab Saudi menganggap ibadah tersebut tahun ini secara keseluruhan adalah satu kejayaan apabila ia terhindar daripada sebarang malapetaka atau kejadian tidak diingini yang boleh mengancam ketenteraman.

Timbalan Perdana Menteri Kedua yang juga Menteri Dalam Negeri Arab Saudi Putera Naif, yang juga pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Haji, memuji kerjasama baik yang ditunjukkan oleh jemaah dan juga petugas keselamatan yang menjadikan ibadah tersebut tahun ini sebagai satu kejayaan.

Akhbar Arab News memetik Putera Naif sebagai berkata aspek keselamatan di negara itu berada pada tahap cukup optimum.

"Setiap tahun kami berusaha keras untuk menjadikan musim haji yang akan dilalui adalah lebih baik daripada yang sebelumnya.

Kami tidak lihat pada kerakyatan, bahasa atau warna kulit jemaah, kami beri layanan yang sama. Kami harap ibadah anda semua (jemaah) akan diterima oleh Allah, dan anda dapat kembali ke tanah air masingmasing dengan selamat," katanya.

Menteri Kesihatan Abdullah AlRabeeah sementara itu berkata ibadah haji tahun ini adalah satu kejayaan dan terhindar daripada jangkitan wabak penyakit berbahaya yang serius.

"Hanya 73 kes Influenza A(H1N1) dengan lima kematian dilaporkan daripada hampir 2.5 juta jemaah yang mengerjakan Haji tahun ini, kata beliau yang dipetik oleh media AlRabeeah.

Akhbar itu turut melaporkan Gabenor Mekah Putera Khaled AlFaisal, yang juga pengerusi jawatankuasa Haji Pusat sebagai berkata haji tahun ini turut bebas daripada sebarang kemalangan besar.

Beliau berkata 2.5 juta jemaah mengerjakan ibadah melontar di Jamrat, manakala jumlah jemaah haji yang tiba tanpa menggunakan saluran yang betul mencecah 753,000.

"Ibadah haji ini mungkin boleh jadi bertambah mudah sekiranya ia tidak dikusutkan dengan ketibaan jemaah yang tidak mengikut saluran yang betul ini," katanya.

Putera Khaled menegaskan bahawa dasar berkaitan keperluan permit haji yang lebih rapi akan diperketatkan lagi di masa hadapan, dan beliau turut memberi amaran kepada jemaah tempatan yang menggunakan perkhidmatan pengusaha haji yang tidak sah.

"Kami mahukan jemaah untuk datang ke Arab Saudi dengan penuh bermaruah serta terhormat, dan kembali ke tanah air juga dalam keadaan bermaruah dan terhormat. Menjadi tetamu Allah adalah satu penghormatan di mana kami menjayakannya dengan penuh rasa bangga," katanya.

Putera Khaled berkata pembinaan perkhidmatan shuttle bagi jemaah, yang membawa 300,000 orang setiap jam, pembinaan jambatan Jamrat setinggi lima tingkat yang berharga lebih SR4.4 bilion, dan pelebaran kawasan Masa, semua ini menyumbang kepada kejayaan haji yang bebas kemalangan. Katanya pelaksanaan pelbagai projek-projek pembangunan semasa di Mekah dan tanah suci, yang termasuk pembinaan monorel, juga akan memberikan kemudahan kepada ibadah haji akan datang.

Beliau berkata monorel tanah suci yang bernilai SR6.7 bilion itu akan disambungkan dengan projek keretapi dua di Masjidil haram dan Nabawi, di mana kerja-kerja pembinaan sudah dimulakan untuk menyediakan rangkaian perjalanan tren di Mekan, Madinah, Mina, Arafah dan Muzdalifah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain