suria

Raja Abdullah Utamakan Keselamatan Jemaah

MINA: Penjaga Dua Masjid Suci Raja Abdullah Abdul Aziz menekankan keupayaan Arab Saudi untuk menjaga dan melindungi jutaan jemaah yang sedang mengerjakan ibadah haji.

Ketika baginda berucap pada majlis meraikan orang kenamaan, yang berada di negara ini bagi mengerjakan ibadah haji, di Istana Mina pada Sabtu, jutaan jemaah sedang melakukan ibadah melontar Jamrah pada hari kedua.

"Kerajaan Arab Saudi, dengan keupayaan yang dikurniakan oleh Allah Yang Maha Besar kepadanya, dapat menjamin keselamatan para jemaah dengan membanteras apa juga rancangan untuk menjejaskan ibadah haji.

"Kerajaan telah membuat semua persediaan untuk memberikan khidmat terbaik kepada tetamu Allah dengan izinNya," titah Raja Abdullah kepada para tetamu.

Tetamu berkenaan termasuk bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Abdullah Ahmad Badawi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Jamil Khir Baharom, Menteri Besar Perlis Datuk Mohd Isa Sabu, Naib Presiden Sudan Ali Usman Muhammad Taha dan Timbalan Perdana Menteri Kedua dan Menteri Dalam Negeri Putera Naif Abdul Aziz dan beberapa wartawan dari negara Islam yang berada di negara ini untuk membuat liputan berita mengenai ibadah Haji.

Mengucapkan Selamat Menyambut AidilAdha serta mendoakan mereka agar memperoleh Haji Mabrur, Raja Abdullah bertitah: "Ibadah haji menonjolkan prinsip persaudaraan dan menghapuskan semua bentuk perbezaan di kalangan umat Islam sepertimana dinyatakan oleh Allah s.w.t dalam Al-Quran.

"Melihat pergerakan jutaan tetamu Allah dari satu tempat suci ke tempat suci yang lain merupakan pemandangan yang amat menyenangkan. Ini menggambarkan ketakwaan dan harapan yang Ummah berada dalam keadaan baik, penuh kesederhanaan dan menahan diri sepertimana kata-kata Allah: "Oleh itu, Kami telah menjadikan kamu Ummah yang adil dan saksama".

Raja Abdullah mengakhiri ucapan baginda dengan menasihati para jemaah untuk memanfaatkan sepenuhnya kebaikan ibadah Haji dan Aidiladha.

Para jemaah melakukan ibadah melontar Jamrah di Jambatan Jamrah, sebagai simbolik untuk tidak tunduk kepada pujuk rayu syaitan, pada Sabtu dengan dikawal oleh pegawai keselamatan awam bagi memastikan kelancaran pelaksanaan ibadah itu.

Mereka mula bergerak ke Jambatan Jamrah selepas solat Zuhur. BERNAMA

Artikel Lain