suria

PM Utus Ucapan Selamat Menyambut Hari Perpaduan Antarabangsa Kepada Palestin

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengutuskan ucapan selamat menyambut Hari Perpaduan Antarabangsa kepada Presiden Palestin Mahmoud Abbas dan rakyat negara itu sempena Hari Perpaduan Antarabangsa dengan Rakyat Palestin, hari ini.

Najib dalam perutusan beliau berkata adalah amat malang bahawa selepas lebih 40 tahun, masyarakat antarabangsa masih belum menemui penyelesaian baik terhadap konflik di Palestin.

"Sejak sekian lama, kami telah menyaksikan harapan menggunung diletakkan bagi mencapai keamanan di Timur Tengah, namun harapan itu dimusnahkan oleh kekejaman Israel. Insiden terbaru di mana kami menyaksikan kekejaman Israel menerusi serangan yang dilancarkan di Gaza tahun lepas.

"Serangan tidak berperikemanusiaan oleh Israel itu telah menyebabkan lebih 1,400 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 5,000 cedera teruk. Dan kebanyakan mangsa terdiri daripada wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa," katanya.

Perdana Menteri berkata sekatan berterusan yang dikuatkuasakan oleh Israel di sempadan telah memburukkan lagi keadaan berikutan larangan penghantaran bekalan barangan perlu, sumber tenaga manusia dan bahan pembinaan kepada kumpulan yang memerlukan di Gaza.

Sekatan itu sebenarnya berupa satu bentuk hukuman kolektif, yang melanggar undang-undang antarabangsa, katanya.

Najib berkata pada masa yang sama, peluasan penempatan Israel, pembinaan tembok pemisah, dasar diskriminasi perumahan, perobohan rumahrumah, penguatkuasaan pengehadan permit regim, penutupan berterusan institusi Palestin dan menjadikan Baitulmaqdis Timur sebagai pusat agama Yahudi, antara lain telah menjejaskan jalinan sosial rakyat Palestin.

"Tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap penduduk Palestin bukan sahaja melanggar undang-undang dan tidak bermoral tetapi juga menjejaskan usaha untuk mencapai keamanan berkekalan di negara itu.

"Israel tidak boleh lagi sepertimana yang pernah dilakukannya sebelum ini, cuba mengaburi mata masyarakat antarabangsa dengan menyenaraikan, di PBB dan forum lain, tindakan yang diambilnya untuk mengurangkan penderitaan penduduk Palestin. Ia perlu bertanggungjawab terhadap apa yang telah dilakukannya sebagai punca kepada konflik di Timur Tengah," katanya.

Najib berkata adalah jelas bahawa keamanan di Timur Tengah hanya boleh dicapai apabila masyarakat antarabangsa berjaya membuat Israel mengakui kesalahannya dan dipertanggungjawabkan bagi dasar-dasarnya yang mendorong kepada kemusnahan.

Hanya apabila semua pihak mempamerkan kejujuran dan keikhlasan dan melaksanakan semua komitmen mereka mengikut undang-undang antarabangsa, barulah penyelesaian berkekalan terhadap persoalan Palestin akan ditemui, kata Najib.

"Saya ingin menyampaikan penghargaan terhadap semua penduduk Palestin bagi perjuangan mereka untuk hidup merdeka dan bermaruah di Negara yang mereka boleh panggil sebagai negara sendiri.

"Rakyat Palestin boleh bergantung kepada sokongan padu berterusan Malaysia dalam usaha mereka untuk mewujudkan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara dan dalam perjuangan mereka untuk mencapai penyelesaian yang adil terhadap konflik mereka," katanya. BERNAMA

Artikel Lain