suria

Pembekuan Pengambilan Pekerja Bangladesh Kekal - Najib

PORT OF SPAIN: Malaysia tetap dengan keputusan mengekalkan pembekuan pengambilan pekerja dari Bangladesh walaupun terdapat permohonan daripada rakan sejawatannya supaya keputusan itu dikaji semula, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata keputusan pembekuan itu disampaikan kepada rakan sejawatannya Sheikh Hasina Wajed pada satu perbincangan di luar Mesyuarat Ketua-ketua Negara Komanwel (CHOGM) 2009 di sini pada Sabtu.

Bercakap kepada wartawan Malaysia pada akhir hari kedua mesyuarat itu, Najib berkata: "Saya menjelaskan kepada beliau bahawa kami memutuskan untuk mengekalkan pembekuan itu bagi mencegah agen-agen tidak bertanggungjawab daripada mengeksploitasi pekerjapekerja."

Beliau berkata ramai pekerja Bangladesh terpedaya dengan agen-agen berkenaan dan percaya mereka akan mendapat pekerjaan yang memberikan pendapatan lumayan di Malaysia.

Sebilangan daripada mereka, kata Perdana Menteri menjual apa sahaja harta milik mereka termasuk haiwan ternakan untuk membiayai kos perjalanan mereka ke Malaysia.

"Bentuk penipuan sebeginilah yang kami mahu cegah," kata Najib.

Menurut Najib, pihak Bangladesh memahami akan kedudukan dalam keadaan ekonomi semasa, adalah sukar bagi Malaysia untuk meningkatkan jumlah pengambilan pekerja dari negara itu.

Kabinet memutuskan untuk membekukan pengambilan pekerja dari Bangladesh pada Oktober 2007, kali kedua selepas keputusan seumpamanya dilakukan pertama kali pada 1999.

Pada Mac tahun ini, Kabinet turut membatalkan visa bagi rakyat Bangladesh yang memperoleh permit kerja masingmasing pada 2007 tetapi belum lagi memasuki Malaysia.

Tindakan itu diambil seiring dengan keputusan kerajaan untuk meminimumkan pengambilan pekerja asing kecuali dalam sektor-sektor tertentu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain