suria

Rakyat Palestin Sambut Aidiladha Di Kem Pelarian Lubnan

TYRE: Meskipun hidup sentiasa dalam keadaan terhimpit dan tertekan di negara orang, kira-kira 400,000 pelarian Palestin yang berada di Lubnan menyambut Aidiladha dalam keadaan sederhana.

Mereka yang ditempatkan di 14 kem pelarian berdaftar di seluruh negara ini merayakan perayaan besar umat Islam ini sama seperti umat Islam lain di seluruh dunia. Mereka beramai-ramai menunaikan solat Aidiladha di masjid yang dibina di dalam kem pelarian mahupun di kawasan penempatan luar sebelum kembali ke rumah masing-masing untuk menikmati juadah bersama keluarga. Seorang sukarelawan Palestin, Wissam Tafesh, 30, berkata secara tradisinya apabila selesai makan bersama keluarga, mereka akan kembali ke jalan raya dan berarak sambil bertakbir ke sekeliling kampung sebagai tanda syukur dan kegembiraan menjelangnya Aidiladha.

Menurut Wissam, kemuncak kepada sambutan itu mereka beramai-ramai melakukan aktiviti korban yang kemudian dagingnya diagihkan kepada warga Palestin yang berada di dalam kem mahupun yang tinggal di penempatan persendirian di luar.

"Aktiviti korban dilakukan di beberapa lokasi yang sudahpun diagih-agihnya untuk melancarkan proses penyembelihan, di sini kambing biri-biri menjadi pilihan utama mereka yang melakukan korban," kata Wissam.

Wissam, yang bernaung di bawah Humanitarian Relief for Development Society (HRDS), berkata kebanyakan haiwan korban disumbangkan orang perseorangan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu kebajikan masyarakat Palestin termasuk dari Malaysia, Turki, Arab Saudi, Qatar, dan Kuwait.

Aman Palestin, sebuah NGO dari Malaysia, turut menyumbangkan USD20,000 untuk tujuan korban tahun ini yang diserahkan kepada HRDS. BERNAMA

Artikel Lain