suria

Pihak Berkuasa Arab Saudi Bersiap Sedia Di Kawasan Melontar

MEKAH: Pihak berkuasa keselamatan Arab Saudi telah bersiap sedia menerima jutaan tetamu Allah pada Jumaat di Jambatan Jamrat untuk mengawal orang ramai dan menempatkan anggota kecemasan di setiap pintu masuk dan keluar di jambatan lima tingkat itu untuk menghadapi sebarang kemungkinan dan keskes kecemasan, demikian menurut laporan Akhbar Arab News hari semalam.

Akhbar itu memetik Komander Pertahanan Awam di Jamrat Brig Zuhair Sibiyah sebagai berkata kemudahan laluan lima tingkat di Jamrat mampu mengurangkan bahaya yang disebabkan oleh kehadiran ramai jemaah. Jambatan Jamrat boleh digunakan lebih daripada 300,000 jemaah haji dalam satusatu masa dalam tempoh sejam untuk menunaikan ibadah melontar.

Jambatan itu turut menempatkan pusat kesihatan dan kecemasan untuk merawat jemaah haji yang mungkin menghadapi masalah kesihatan dan turut mempunyai platform pendaratan helikopter.

Jambatan itu direka sedemikian rupa bagi mengelakkan jemaah haji berhimpun di dalam satu tempat melontar dan setiap daripada tingkat jambatan itu mempunyai laluan keluar ke Mina.

Jemaah haji yang masuk melalui Jalan Raja Fahd akan ke tingkat pertama manakala mereka yang masuk dari Jalan Al-Jawhara akan melontar di tingkat bawah.

Jemaah haji yang datang dari Jabal Kabish akan masuk ke tingkat tiga jambatan itu manakala mereka yang datang dari Mekah masuk ke tingkat satu.

"Semua jemaah haji akan melalui laluan mudah dan selamat ke setiap tingkat jambatan itu untuk mereka melakukan ibadah melontar, balik ke Mina atau ke Mekah," katanya.

Beliau menjangkakan jemaah haji yang ramai datang dari Muzdalifah di tingkat bawah dan tingkat satu jambatan itu dan Jabatan Perlindungan Awam dan Pertahanan Awam akan mengukur tahap gas berbahaya dan tahap pencemaran udara di kawasan Jamrat.

Katanya lebih 1,300 anggota pertahanan awam dan tentera ditempatkan di kawasan Jamrat, selain kemudahan kamera CCTV yang dipasang di pelbagai sudut kawasan itu bagi memastikan sebarang kes kecemasan dapat diatasi segera. BERNAMA

Artikel Lain