suria

Semua 26,000 Jemaah Haji Malaysia Selamat Tiba di Tanah Suci

MEKAH: Kesemua 26,000 jemaah haji Malaysia telah selamat tiba di tanah suci menjelang bermulanya musim haji Khamis ini, menurut jurucakap Tabung Haji.

Beliau berkata berkata penerbangan terakhir yang membawa jemaah haji tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz di Jeddah semalam.

Katanya secara keseluruhannya jemaah haji Malaysia berada dalam keadaan sihat dan mereka ditempatkan di 10 tempat penginapan atau Maktab Tabung Haji di sekitar kota Mekah.

"Jemaah haji kini sedang bersiap sedia untuk dibawa ke padang Arafah secara berperingkat-peringkat Rabu ini dengan menaiki 160 buah bas yang disewa oleh Tabung Haji dan keseluruhan proses itu dijangka selesai sebelum tengah malam pada hari yang sama," katanya di sini Isnin.

Menurutnya, Tabung Haji akan menentukan semua jemaah haji termasuk yang menerima rawatan di dua buah hospital Tabung Haji di Aziziah dan Sisya berada di padang Arafah pada Khamis untuk wukuf yang merupakan perkara rukun dalam ibadah haji.

Rombongan pertama kira-kira 450 orang jemaah haji Malaysia tiba di tanah suci pada 20 Oktober lepas di mana mereka berada di Madinah selama seminggu sebelum memasuki kota Mekah.

Menurut jurucakap itu penerbangan pertama membawa pulang jemaah haji di jangka pada 3 Disember ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain