suria

Tabung Haji Tangguh Khidmat Upah Haji

MEKAH: Tabung Haji menangguhkan sementara perkhidmatan upah haji bagi mengkaji kesan pelaksanaan peraturan baru pihak berkuasa Arab Saudi yang mewajibkan semua jemaah tempatan serta daripada kalangan rakyat negara itu mendapatkan permit terlebih dahulu sebelum boleh mengerjakan haji.

Ketua rombongan haji Malaysia Mohd Salleh Abd Mubin berkata penangguhan itu perlu bagi membolehkan pihak Tabung Haji menentukan kadar upah yang sesuai yang boleh diberikan kepada seseorang yang menjalankan perkhidmatan itu.

Beliau berkata sejak beberapa tahun lepas, Tabung Haji menawarkan perkhidmatan ini kepada jemaah haji Malaysia yang membawa amanah daripada kaum keluarga yang telah meninggal dunia untuk mencari daripada kalangan rakyat tempatan yang tinggal di kota Mekah bagi menjalankan perkhidmatan upah haji.

"Lazimnya pihak Tabung Haji akan mencari penduduk tempatan dari kalangan masyarakat Melayu yang berasal dari selatan Thai, Indonesia dan Malaysia sendiri untuk melaksanakan upah haji ini kerana kadarnya jauh lebih rendah iaitu sekitar RM2,500 seorang," katanya kepada petugas media Tabung Haji di sini hari ini.

Beliau berkata kadar itu rendah kerana sebelum ini sebagai penduduk tempatan mereka tidak perlu menggunakan khidmat muassasah untuk mengerjakan haji dan datang ke Arafah serta Mina dengan menaiki kereta sendiri dan tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan yang banyak untuk sewa khemah atau untuk makan minum.

Bagaimanapun, sejak musim haji tahun lepas pihak berkuasa Arab Saudi telah mengeluarkan peraturan yang menghendaki semua penduduk tempatan mendapatkan permit bagi mengerjakan haji serta menggunakan khidmat muassasah tempatan dan tidak boleh lagi mengerjakan haji sesuka hati.

Justeru, kini penduduk tempatan juga terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang lebih tinggi bagi mengerjakan haji dan seperti musim haji tahun lepas, ramai daripada kalangan penduduk tempatan tidak bersedia menjalankan upah haji mengikut kadar upah yang lama.

Mohd Salleh berkata ekoran itu, pihak Tabung Haji akan meneliti perkara itu terutama daripada segi jumlah perbelanjaan yang perlu dikeluarkan oleh penduduk tempatan bagi mengerjakan haji sebelum menetapkan kadar upah haji yang wajar diberikan kepada mereka.

"Apa yang penting sekiranya perkhidmatan itu tawarkan oleh Tabung Haji, mereka yang diupah hendaklah menjalankan ibadah itu dengan sempurna dan mengikut peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa," katanya.

Mengenai pihak lain yang menawarkan khidmat upah haji, beliau berkata pihak Tabung Haji tiada halangan dan tidak memantau perkara itu, sambil menambah pada musim haji lepas, Tabung Haji menetapkan jumlah maksimum upah haji bagi 3,000 orang.

Beliau menasihati jemaah haji yang membawa amanah upah haji bagi kaum keluarga yang telah meninggal dunia supaya memastikan orang yang menjalankannya adalah orang yang dikenali dan boleh dihubungi supaya dapat memastikan amanah yang diberikan kepadanya dilaksanakan dengan sempurna. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain