suria

Malaysia Dan Yunnan Akan Perkukuh Kerjasama Pelancongan

KUNMING: Malaysia dan Yunnan iaitu provinsi di barat daya China akan menandatangani memorandum persefahaman pada tahun depan untuk mempromosikan pelancongan, kata Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Satu delegasi dari Yunnan akan datang ke Malaysia untuk memeterai memorandum itu dan berbincang dengan pengusaha pelancongan Malaysia.

"Selepas menandatangani MoU, keduadua pihak boleh mengkaji jenis kerjasama dan pelaburan dalam membangunkan industri pelancongan," kata Ng kepada pemberita di sini.

Terdahulu, Ng mengunjungi Naib Gabenor Yunnan Liu Ping.

Ng mengetuai delegasi ke sini untuk menghadiri Pameran Pelancongan Antarabangsa China 2009 selama empat hari yang bermula di ibu negeri provinsi ini di sini hari ini.

Menteri itu berkata Malaysia dan Yunnan boleh bekerjasama menganjurkan seminar dan program latihan untuk membangunkan pakej pelancongan berkualiti tinggi.

"Saya sentiasa percaya dalam kerjasama antara keduadua pihak untuk memastikan kejayaan," katanya.

Ng berkata oleh kerana Yunnan mempunyai kira-kira dua juta penduduk Islam dan makanan halal di Kunming, keduadua pihak boleh mengkaji untuk bekerjasama membangunkan pasaran dan peluang perniagaan baru.

Sementara itu, Liu Ping mencadangkan lawatan tahunan antara Yunnan dan Malaysia bagi memberikan perkembangan terkini mengenai produk pelancongan terbaru antara satu sama lain.

"Melalui lawatan seumpama itu, kami boleh mendapat tahu mengenai produk Malaysia yang menarik kepada penduduk kami dan kami boleh menggalakkan penduduk kami melawat Malaysia dan rakyat Malaysia melawat Yunnan," katanya.

Beliau juga mencadangkan keduadua pihak mengkaji program-program pelaburan dan pertukaran bersama dalam pengurusan hospitaliti.

"Melalui pertukaran bersama ini, kerjasama dua hala dapat dipertingkatkan lagi," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain