suria

Muhyiddin Tiba Di Rome Hadiri Sidang Kemuncak Jaminan Makanan Dunia

ROME: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di sini pada Ahad untuk menghadiri Sidang Kemuncak Jaminan Makanan Dunia 2009, yang berlangsung di sini selama tiga hari bermula Isnin.

Muhyiddin yang diiringi isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, tiba di Leonardo da VinciFiumicino Airport pada 11.50 pagi (6.50 petang waktu Malaysia) dan disambut oleh Duta Malaysia ke Itali, Ramli Naam serta pegawai kanan lain.

Muhyiddin dijadual menyampaikan pernyataan negara mengenai pelaksanaan perubahan tadbir urus global berhubung jaminan makanan pada Selasa.

Beliau kemudian akan menyertai lebih 60 ketuaketua negara dan kerajaan dalam sidang kemuncak global, bertujuan mendesak momentum baru bagi membasmi kebuluran yang menjejaskan 1.02 bilion penduduk.

Di luar sidang kemuncak itu, Muhyiddin dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina pada Selasa dan Naib Presiden Indonesia Prof Dr Boediono pada Rabu.

Beliau juga dijangka menghadiri pertemuan dan jamuan malam bersama masyarakat Malaysia di Itali pada Selasa.

Dianjurkan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), acara berprofil tinggi itu bertujuan mengumpul iltizam politik para pemimpin dunia dalam menangani punca utama kebuluran.

FAO telah melancarkan kempen online www.1billion.org menggesa penduduk global supaya mengadakan "mogok lapar menentang kebuluran" bagi menunjukkan kesepakatan terhadap golongan yang berdepan masalah kekurangan makanan saban hari.

Program Makanan Dunia PBB turut melancarkan kempen "Bilion untuk Satu Bilion" dalam usaha mendapatkan satu bilion pengguna internet membantu memberi makan kepada penduduk dunia yang kebuluran. BERNAMA

Artikel Lain