suria

Beberapa Orang Cedera Dalam Letupan Kecil Di Lokasi Perhimpunan Di Bangkok

BANGKOK: Beberapa orang cedera apabila satu letupan kecil berlaku semasa perhimpunan kumpulan berbaju kuning berlangsung di Sanam Luang di sini bagi menyatakan bantahan terhadap bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra yang didakwa sebagai 'pengkhianat.'

Seorang jurucakap polis berkata siasatan awal menunjukkan seseorang melempar bom asap ke arah khalayak yang berhimpun ketika pemimpin Perikatan Rakyat Untuk Demokrasi (PAD) dan hartawan media Sondhi Limthongkul sedang berucap kira-kira 9.10 malam.

Katanya terdapat lebih 20,000 orang di Sanam Luang, sebuah kawasan terbuka yang popular berdekatan Grand Palace iaitu lokasi sebahagian besar demonstrasi paling aman oleh pelbagai kumpulan seringkali diadakan.

Bantahan itu diadakan hampir setahun selepas penutupan lapangan terbang oleh PAD yang mengakibatkan lebih 300,000 pengembara terkandas ketika penunjuk perasaan berbaju kuning cuba memaksa Perdana Menteri ketika itu dan ipar Thaksin, Somchai Wongsawan supaya meletak jawatan.

Tunjuk perasaan pada Ahad dianjurkan oleh PAD dan kumpulan lain bagi melindungi integriti negara dan institusi penting seperti keluarga diraja berikutan temubual Thaksin dengan media asing yang didakwa oleh banyak pihak sebagai menghina pemerintahan beraja.

Thaksin mencetuskan kontroversi selanjutnya berikutan pelantikannya sebagai penasihat ekonomi Kemboja oleh Perdana Menteri Hun Sen.

Beliau berada di Kemboja sejak Selasa dan meninggalkan kediaman dalam buangannya di Dubai iaitu tempat tinggal beliau hampir sepanjang masa sejak disingkirkan pada September, 2006.

Hubungan diplomatik antara kedua-dua negara menjadi tegang berikutan pelantikan Thaksin itu, memaksa Bangkok memanggil pulang dutanya di Phnom Penh.

Kemboja turut memanggil pulang dutanya di Bangkok dan memecat setiausaha pertama Thailand kerana didakwa mengintip. BERNAMA

Artikel Lain