suria

Pemimpin APEC Bersepakat Pulih Ekonomi Dunia

SINGAPURA: Para pemimpin ekonomi Asia Pasifik yang bermesyuarat di hari pertama di sini hari ini berjanji akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memulihkan ekonomi dunia. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata setiap negara telah bersepakat untuk terus melakukan usaha-usaha bagi mempastikan ekonomi dunia berjalan semula seperti yang diharapkan.

Bercakap kepada wartawan Malaysia pada persidangan akhbar selepas mesyuarat AELM itu di hotelnya, Najib berkata para pemimpin itu menerima hakikat walaupun keadaan ekonomi dunia paling buruk sekali sudah reda dan pulih tetapi pemulihan sepenuhnya belum berlaku lagi.

Perdana Menteri juga berkata mesyuarat itu juga menolak sebarang tindakan untuk perlindungan daripada segi perdagangan kerana ini akan merenjatkan pemulihan ekonomi dunia dan semua negara akan rugi sekiranya trend ke arah perlindungan ini berterusan.

Mesyuarat itu yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong itu juga telah bersetuju tentang betapa penting dan perlunya penyelesaian Pusingan Doha diselesaikan pada tahun depan.

Najib berkata jika Apec membuat ketetapan ini, bermakna setiap negara anggota perlu memberi pengarahan yang jelas kepada pegawai mereka yang melakukan perundingan supaya mereka akan bekerja keras untuk mencari penyelesaian Pusingan Doha akhir tahun depan. Perdana Menteri berkata turut disentuh ialah bagaimana hendak menentukan penambahbaikan daripada segi perhubungan (connectivity) termasuk fizikal dan udara antara negara-negara Apec.

Turut diperbincangkan ialah usaha untuk permudahkan urusan perniagaan samada di kawasan persempadanan atau seberang sempadan seperti apa yang telah digariskan oleh ketetapan menteri-menteri ekonomi Apec dua hari lepas, kata Najib. Mesyuarat itu juga memutuskan untuk menilai pencapaian Matlamat Bogor (Bogor Goals) pada tahun depan kerana 2010 adalah berakhirnya fasa pertama untuk negara-negara maju memenuhi matlamatnya.

Najib menyatakan AELM turut bersetuju supaya diadakan usaha untuk membangunkan perusahaan kecil dan sederhana ((PKs) secara lebih tersusun kerana PKS adalah teras ekonomi negara-negara Apec termasuk Malaysia.

Menurutnya PKS perlu dibantu daripada segi penambahan penyelidikan dan pembangunan, penggunaan teknologi baru dan menentukan peningkatan rantaian pembekalan global.

Mengenai pertemuan dua hala beliau dengan Presiden Chile Michelle Bachelet Jeria juga hari ini, Perdana Menteri berkata pemimpin wanita negara Amerika Latin itu mahu perundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara Malaysia dan negaranya diselesaikan secepat mungkin.

Najib berkata Bachelet pada jadual asalnya akan melawat Malaysia selepas mesyuarat AELM ini tetapi telah menangguh ke tarikh lain kerana tidak mahu lawatannya itu bersifat keraian (ceremony) tetapi mahukannya lebih bermakna dengan adanya acara majlis menandatangani perjanjian FTA itu semasa lawatan beliau.

Mengenai hasil pertemuannya dengan Perdana Menteri Australia Kevin Rudd pula, Perdana Menteri berkata Rudd telah membangkitkan soal kegiatan penyeludupan manusia oleh sindiket ke negaranya dan memohon kerjasama Malaysia untuk membanterasnya.

Kerajaan Australia juga menimbulkan soal FTA dengan Malaysia yang masih di peringkat rundingan dan menyatakan mereka memerlukan tempoh masa tertentu untuk menamatkannya, tambahnya.

Najib berkata Rudd juga telah mengundangnya untuk melawat Australia.

Turut ditawarkan Australia ialah kerjasama dalam latihan vokasional dan negara itu akan menghantar seorang pakarnya untuk mengkaji keperluan Malaysia tentang latihan tersebut.

Mesyuarat para pemimpin itu akan disambung lagi esok dengan penyertaan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama yang dijangka tiba di sini malam ini. BERNAMA

Artikel Lain