suria

Parti Pembangkang Utama Thailand Gesa Adakan Pilihan Raya Baru

BANGKOK: Pemimpin Pheu Thai Party, iaitu parti pembangkang di Thailand, menggesa Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva supaya membubarkan Parlimen atau berdepan kemungkinan "sesuatu yang besar" akan berlaku.

Pengerusinya yang juga bekas Perdana Menteri Chavalit Yongchaiyudh berkata sekiranya Abhisit mempunyai keyakinan, beliau perlu mengadakan pilihan baru dan mengambil peluang daripada rating tinggi beliau dalam pungutan pendapat umum.

"Jika beliau (Abhisit) membubarkan (Parlimen), langkah itu sangat bagus. Jika tidak, sesuatu yang besar akan berlaku," kata Chavalit kepada sekumpulan koresponden asing yang berpusat di Bangkok di ibu pejabat parti itu di sini.

Dalam temubual itu, yang diadakan ketika ketua umum parti dan Perdana Menteri yang disingkirkan Thaksin Shinawatra tiba untuk melakukan lawatan kontroversi ke Kemboja, Chavalit berkata perkara besar itu mempunyai kaitan dengan keadaan ekonomi negara berkenaan.

"Abhisit seharusnya memberi tumpuan kepada masalah ekonomi... pada saya perkara itu tidak dilakukan. Kebanyakan penduduk miskin tidak dapat meneruskan hidup... ia membangkitkan keprihatinan Pheu Thai memandangkan kami membantu penduduk miskin yang merupakan majoriti di Thailand," katanya.

"Adalah malang kerana setiap kali rampasan kuasa berlaku, satu perlembagaan baru dirangka... 18 (perlembagaan) sudah cukup," katanya.

Mengenai dakwaan oleh kerajaan semasa dan pengkritik parti bahawa Thaksin dan beliau merendahkan kepentingan parti kerana bekerjasama dengan "musuh" Thailand, beliau berkata kerajaan sekarang juga telah menimbulkan banyak masalah dalam hubungan mereka dengan negara berjiran.

"Kami pergi secara aman dan demi keamanan. Ini berbeza antara dasar kami dan dasar kerajaan semasa. Kami pun mempunyai semangat kebangsaan tetapi kami juga menyayangi jiran kami," kata Chavalit, yang menimbulkan kekecohan di tanah air berikutan lawatannya ke Kemboja bulan lepas.

Menurut para pembantunya, lawatan Chavalit ke Malaysia yang dicadangkan minggu depan telah pun ditangguhkan.

Mengenai langkah kerajaan Abhisit untuk membawa pulang Thaksin dari Kemboja, Chavalit berkata proses perundangan seharusnya dibenarkan untuk dilaksanakan, sambil memberi contoh penasihat kewangan kelahiran India, Rakesh Saxena yang dihantar pulang dari Kanada baru-baru ini selepas 13 tahun menghadapi perbicaraan mahkamah di Kanada. LAGI Ketegangan antara Thailand dan Kemboja memuncak selepas Kemboja mengumumkan pelantikan Thaksin sebagai penasihat ekonomi negara itu.

Keduadua negara memanggil pulang duta masing-masing, manakala Kabinet Thai hari ini membatalkan memorandum persefahaman (MOU) mengenai pertindihan sempadan maritim yang dimeterai pada 2001 semasa bekas Perdana Menteri itu memegang jawatan.

Thaksin, yang dijatuhi hukuman penjara dua tahun kerana penyalahgunaan kuasa yang beliau dakwa sebagai bermotifkan politik, terus mendapat perhatian dalam negara itu berikutan temubual kontroversi beliau dengan akhbar The Times of London.

The Times memetik Thaksin sebagai berkata meskipun beliau setia kepada Raja Bhumibol Adulyadej, namun perubahan dalam institusi raja diperlukan memandangkan "lingkungan" institusi itu mencampuri hal ehwal pentadbiran.

Menteri Luar Thai Kasit Piromya berkata temubual itu mencabuli pemerintahan beraja dan beliau tertanyatanya tentang agenda tersembunyi, lebih-lebih lagi apabila seluruh negara kini mendoakan Raja supaya segera sembuh. Raja Bhumibol, yang genap usia 82 tahun pada bulan depan, dimasukkan ke hospital sejak 19 September.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain