suria

Malaysia Harap Lawatan Presiden China Akan Rancakkan Pelaburan Dari China

KUALA LUMPUR: Kerajaan berharap lawatan Presiden China Hu Jintao ke Malaysia akan terus meningkatkan pelaburan ke dalam negara dari China.

Mengulas mengenai lawatan presiden itu ke Kuala Lumpur, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed berkata China berminat dalam pelaburan berasaskan sumber tetapi Malaysia turut berharap China akan mempertimbangkan pelaburan dalam projek-projek lain.

Presiden Hu tiba di Kuala Lumpur hari ini untuk lawatan dua hari ke Malaysia.

Ini adalah lawatan kedua Hu ke Malaysia.

Kali pertama ialah sebagai naib presiden China pada bulan Mei 2002.

"Kami akan memantau secara rapat MoU yang ditandatangani antara syarikatsyarikat China dan Malaysia," kata Mustapa semasa persidangan akhbar selepas merasmikan Pameran Perdagangan Antarabangsa ketiga (Intrade Malaysia 2009) anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) hari ini.

Beliau ditanya mengenai potensi pelaburan yang dijangka dari China susulan daripada lawatan presiden itu ke negara ini.

Mustapa berkata sejumlah 16 memorandum persefahaman (MoU) telah dimeterai antara syarikat Malaysia dan China semasa lawatan awal oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke China tahun ini, satu MoU telahpun dilaksanakan, sementara yang lainnya menantikan maklum balas dan selebihnya dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

Salah satu pelaburan utama bernilai RM4 bilion iaitu projek yang membabitkan pulpa dan kertas di Sarawak belum lagi dapat dilaksanakan berikutan beberapa masalah pembiayaan, tambah beliau. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain