suria

Mesyuarat APEC Ke-20 Bermula Semalam Dengan Mesyuarat Pegawai Kanan

SINGAPURA: Mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) 2009 di sini bermula semalam dengan pertemuan pegawai-pegawai kanan dari 21 negara ekonomi perkumpulan itu pada sesi retreat di Suntec International Exhibition and Convention Centre.

Pegawai-pegawai kanan itu dipertanggungjawabkan untuk merumuskan deraf laporan bagi Mesyuarat Menteri-menteri Apec (AMM) pada 11 dan 12 November, dan Mesyuarat ke-16 Menteri-menteri Kewangan Apec (FMM0) pada 12 November.

Malaysia diwakili oleh pengarah Kanan Apec, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri N. Vasudevan pada mesyuarat tertutup berkenaan semalam, dengan mesyuarat dipengerusikan oleh Pengerusi Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Apec 2009 dari negara tuan rumah Singapura, Ravi Menon.

Para pegawai kanan itu dijangka menyemak perkembangan oleh Apec dalam memacu liberalisasi ekonomi, menambah-baik keselesaan perniagaan dan meningkatkan penyediaan rangkaian saling perhubungan antara 21 ekonomi tersebut.

Apec sebelum ini mengenal pasti lima bidang keutamaan dalam pembaharuan yang terdiri daripada memulakan perniagaan, mendapatkan kredit, perdagangan merentasi sempadan, menguatkuasa kontrak dan menguruskan permit.

Pegawai-pegawai ini juga akan mengkaji semula usaha memudahkan prosedur kastam serta dokumentasi bagi membantu syarikat-syarikat di 21 ekonomi Apec, sedar sepenuhnya manfaat kawasan perdagangan bebas.

Apec merupakan merupakan satu forum ekonomi sekumpulan negara yang bersempadan dengan Lautan Pasifik, dan antara isu yang dibincangkan ialah ekonomi serantau, kerjasama, perdagangan dan pelaburan.

Kemuncak mesyuarat Apec ini ialah Mesyuarat ke-17 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Apec (AELM) yang akan berlangsung di istana selama dua hari bermula dari 14 November.

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka akan menyampaikan ucapan yang berkisar mengenai isuisu seperti krisis ekonomi, sistem perdagangan pelbagai hala, integrasi ekonomi serantau, ekonomi dan kerjasama teknikal, keselamatan manusia serta pengukuhan Apec semasa AELM.

Najib yang dijadualkan mengetuai delegasi Malaysia, yang termasuk Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, dijangka tiba pada 12 November.

Najib yang juga Menteri Kewangan juga dijemput untuk mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak CEO Apec, dan akan menyampaikan ucapan yang berkisar kepada tajuk "Adakah Keadaan Paling Teruk Dalam Krisis Global Sudah Berakhir?" pada 13 November.

Apec tahun ini yang bertemakan "Mengekalkan Pertumbuhan, Menghubungkan Rantau", juga akan bertumpu kepada usaha mengatasi krisis ekonomi, dan menentukan hala tuju anggota ekonomi bagi pemulihan yang mapan dalam dunia selepas krisis.

Negara anggota Apec terdiri daripada Australia, Brunei, Kanada, Chile, China, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Filipina, Russia, Singapura, Korea Selatan, Taiwan, Thailand, Amerika dan Vietnam. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain