suria

Tabung Haji sedia pakar rujuk untuk jawab soalan ibadah haji

MEKAH: Tabung Haji menyediakan pakar rujuk dan guru agama yang ditempatkan di semua pusat penginapan jemaah haji Malaysia di kota suci ini bagi menjawab soalan mengenai sebarang kemusykilan mengenai ibadah haji.

Pengurus Besar Bahagian Bimbingan Tabung Haji Tengku Aziz Raja Abdullah berkata pada tahun ini Tabung Haji menyediakan seramai 31 orang guru agama yang diagihkan di kalangan 10 tempat penginapan atau Maktab Tabung Haji di mana setiap maktab mempunyai guru agama yang khusus agar mereka dapat menumpukan perhatian terhadap masalah jemaah haji.

Selain itu, Tabung Haji juga menyediakan tiga orang pakar rujuk ibadah haji sekiranya ada persoalan terentu yang memerlukan pendapat mereka yang lebih arif, katanya kepada pasukan media Tabung Haji di sini.

Katanya pengalaman lepas menunjukkan bahawa kes wanita datang haid ketika melakukan ibadah merupakan kes terbanyak dirujuk kepada bahagian bimbingan.

"Ini kerana ada di antara wanita yang mengalami perubahan dari segi kitaran haid ketika sampai di tanah suci ekoran masalah perubahan cuaca serta keadaan persekitaran serta ada juga wanita yang memakan ubat penahan haid.

"Oleh itu saya berharap kaum wanita supaya jangan sembunyikan kedatangan haid mereka dan merujuk kepada guru agama yang disediakan di bahagian bimbingan bagi mendapatkan kepastian tentang ibadah mereka dari segi hukum," katanya.

Sebagai contoh, katanya seorang wanita yang mengerjakan umrah, setelah telah selesai melakukan tawaf dan sai didatangi haid sebelum sempat bertahalul.

Katanya wanita berkenaan perlu merujuk kepada guru agama di bahagian bimbingan bagi mendapat kepastian tentang amalan yang telah beliau lakukan daripada segi hukum Islam untuk menghilangkan sebarang keraguan.

Bagaimanapun Tengku Aziz berkata secara keseluruhannya jemaah haji Malaysia telah pun memahami persoalan daripada segi rukun dan wajib haji menerusi pelbagai siri kursus haji serta forum yang dijalankan oleh Tabung Haji sebelum para jemaah haji berangkat ke tanah suci.

Oleh itu, katanya kebanyakan persoalan yang dirujuk kepada bahagian bimbingan ialah untuk kepastian serta untuk memantapkan lagi kefahaman mereka berkaitan soal hukum agama seperti soal dam (denda yang dikenakan kerana melanggar peraturan).

Tengku Aziz berkata kebanyakan jemaah haji Malaysia yang dikenakan dam adalah kerana melakukan kesalahan kecil seperti rambut gugur ketika berihram dan belum pernah jemaah haji Malaysia dikenakan dam yang berat seperti menyembelih seekor unta atau seumpamanya. - BERNAMA

Artikel Lain