suria

Perkhidmatan penjagaan kesihatan jemaah haji ditingkat

MEKAH: Pihak berkuasa Arab Saudi meningkatkan perkhidmatan rawatan kesihatan untuk jemaah haji di Mekah, Mina, Arafat dan Muzdalifah, serta Jeddah, kata akhbar berbahasa Inggeris Arab Saudi pada Rabu.

"Perabot di Ajyad Emergency Hospital yang berhampiran dengan masjidil haram telah ditukar baru dengan 52 katil ditempatkan di kawasan seluas 3,000 meter persegi," kata akhbar itu yang memetik ketua pengarah hal ehwal kesihatan di Mekah Khaled bin Obaid Zafar.

Wad kecemasannya pula mengandungi 10 katil untuk lelaki dan tujuh untuk wanita, lapan dikhaskan untuk pengawasan, lapan bagi penjagaan koronori, dua untuk jantung dan paru-paru, manakala 12 lagi untuk rawatan rapi, kata Zafar.

Beliau berkata wad isolasi hospital itu mempunyai lima katil. Makmal, jabatan X-Ray dan imbasan hospital itu juga dilengkapi dengan peralatan canggih.

Hospital itu juga menempatkan farmasi dan bahagian berasingan untuk rekod perubatan, sosial dan hal ehwal pesakit serta menambah bahagian pembedahan harian dengan 20 katil dan dewan bedah, kata Zafar.

"Hospital King Faisal juga telah dilengkapi perabot baru dan menggandakan kapasitinya sekarang. Ia juga mempunyai kemudahan terkini di makmalnya, bank darah dan tisu. Dewan bedah juga telah diubahsuai. Wad kecemasan mempunyai 29 katil dengan bahagian berasingan untuk lelaki dan wanita," katanya.

Hospital Ibn Sina diperbesarkan dan kini mempunyai ruang tambahan untuk 100 katil. Dua pusat kesihatan baru juga ditambah di bandar suci itu menjadikan kesemuanya enam, kata Zafar.

Hospital Valley Mina telah diubahsuai mengikut spesifikasi moden dengan 194 katil 25 daripadanya untuk rawatan rapi, 25 untuk pesakit yang mengalami demam panas dan 24 untuk pengawasan. Hospital itu juga mempunyai dua dewan bedah.

"Hospital Mina Bridge diubahsuai sepenuhnya dan kini mempunyai kapasiti 140 katil, empat dewan bedah dilengkapi peralatan perubatan terkini, 28 katil untuk rawatan rapi dan klinik pesakit luar," kata Zafar.

Beliau berkata Hospital Mina Street yang baru mempunyai 50 katil, manakala klinik yang biasa beroperasi di khemah telah berpindah ke bangunan baru.

Zafar berkata 25 katil di Hospital King Saud di Jeddah yang mempunyai 100 katil dikhususkan untuk rawatan rapi untuk rawatan pencegahan kepada jemaah haji yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah. BERNAMA

Artikel Lain