suria

Asean bincang kemajuan sains rantau ini di Singapura

SINGAPURA: Mesyuarat ke-58 Jawatankuasa Sains dan Teknologi Asean (COST) anjuran Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan Singapura (A*STAR) bermula di sini hari ini.

Mesyuarat tiga hari itu, yang akan berakhir Khamis, dihadiri oleh lebih 100 perwakilan terdiri daripada pembuat dasar, saintis dan ahli akademik, termasuk 11 pegawai kanan dari 10 negara anggota Asean.

A*STAR menyatakan mesyuarat itu akan membincangkan isu-isu berhubung kemajuan pembangunan sains dan teknologi di rantau ini berdasarkan Pelan Tindakan Asean mengenai Sains dan Teknologi (APAST) 2007-2011.

Di mesyuarat hari ini, agensi itu berkata lapan dari sembilan jawatankuasa kecil COST yang bersidang dua hari lepas membentangkan laporan dan maklumat kemaskini mengenai pelbagai bidang.

Bidang itu ialah bioteknologi, sains dan teknologi makanan, sains dan teknologi samudera, sains dan teknologi material, mikroelektronik dan teknologi maklumat, penyelidikan tenaga bukankonvensional; infrastruktur sains dan teknologi dan pembangunan sumber, dan teknologi angkasa dan aplikasi.

Semasa mesyuarat itu, anggotaanggota COST akan juga membereskan persiapan mereka bagi sebuah laporan yang akan dibentangkan semasa Mesyuarat Menteri Asean ke-13 mengenai Sains dan Teknologi di sini pada Jumaat. BERNAMA

Artikel Lain