suria

Kerajaan Arab Saudi keluarkan nasihat kepada jemaah haji

MEKAH: Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan beberapa nasihat kepada jemaah haji semasa berada di Saudi Arabia untuk menunaikan ibadat haji yang antara lain termasuk larangan merakam gambar.

Di dalam rencana iklan yang dikeluarkan di dalam akhbar "Arab News" yang berpangkalan di Arab Saudi, pihak berkuasa menasihat jemaah haji supaya mengelak daripada mengambil gambar wanita dan tidak membawa kamera ke dalam masjid suci, Masjidil Haram.

Jemaah haji juga dinasihatkan supaya tidak bertanya dengan mereka yang berlainan jantina mengenai arah kawasan atau bantuan kerana ia boleh disalahtafsir selain tidak duduk bersebelahan dengan mereka yang berlainan jantina.

"Merokok juga tidak dibenarkan di dalam atau di luar masjid kerana ia dianggap satu penghinaan," kata rencana iklan itu.

Pihak berkuasa juga menasihatkan jemaah haji supaya tidak membawa wang tunai terlalu banyak bersama mereka di kawasan awam dan tidak menggunakan kenderaan persendirian untuk bersiar-siar di kawasan sekitar sebaliknya menggunakan teksi berlesen dan pengangkutan awam.

"Gunakan masa sepenuhnya untuk beribadat. Ingat, kita diperlukan untuk mengerjakan haji sekali dalam seumur hidup. Ia bukan mudah untuk datang ke Arab Saudi setiap tahun, jadi gunakan masa anda yang ada untuk bersolat, berdoa dan membaca kitab suci Al-Quran," demikian nasihat pihak berkuasa. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain