suria

Masih terlalu awal untuk bincang perkumpulan baru komuniti serantau

HUA HIN: Asean berkata masih terlalu awal bagi membincangkan tentang peranan dan keanggotaan perkumpulan baru serantau, Komuniti Asia Tenggara dan Komuniti Asia Pasifik, yang masing-masing dicadangkan oleh Jepun dan Australia.

Perdana Menteri Thailand Abhisit Vejjajiva berkata kesemua 10 negara anggota Asean mahu memastikan kerjasama yang dilakukan akan berorientasikan ke arah menyelesaikan masalah.

"Bagi para pemimpin Asia Tenggara, perkara paling utama ialah mencari model pertumbuhan baru bagi rantau ini. Kami akan terus mengadakan hubungan dengan pihak lain. Bulan depan di Singapura, kita akan menyaksikan hubungan antara Asean dan negara Asia Timur lain dengan Amerika Syarikat, dan kemudiannya Sidang Kemuncak Asean-Amerika Syarikat," katanya.

Bercakap pada sidang akhbar pada hari terakhir Sidang Kemuncak Asean ke-15 dan sidang kemuncak berkaitan lain, Abhisit berkata semua pemimpin yang menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) bersetuju forum sedia ada membenarkan perkumpulan itu luwes pada masa depan.

EAS terdiri daripada Asean, China, Jepun, Korea Selatan, India, Australia dan New Zealand.

Perdana Menteri Jepun Yukio Hatoyama dan rakan sejawatannya dari Australia Kevin Ruud cuba mengemukakan idea bagi konsep dua perkumpulan baru semasa sidang kemuncak, dengan keduaduanya dibentuk berdasarkan perkumpulan serantau sedia ada.

Abhisit berkata sepanjang negara itu menjadi pengerusi, Thailand menyaksikan pengwujudan Piagam Asean dan badan hak asasi manusia yang pertama bagi rantau Asia Tenggara.

Setiausaha Agung Asean Surin Pitsuwan berkata keduadua cadangan itu tidak bermaksud dengan niat untuk pembentukan segera.

"Keduadua Perdana Menteri memulakan ucapan mereka dengan pengiktirafan terhadap pencapaian dan peranan Asean dalam evolusi beberapa pembentukan di rantau ini. Ruud membicarakan tentang langkah demi langkah dan memikirkan tentang masa depan manakala Yukio menyebut tentang masa akan datang... bukan sekarang, bukan tahun depan," katanya.

Sidang kemuncak selama lima hari di sini, dikawal lebih 18,000 anggota keselamatan, berjalan dengan lancar dengan Thailand berusaha gigih mengelakkan berulangnya insiden Pattaya pada April, yang menyaksikan ribuan penunjuk perasaaan anti-kerajaan merusuh masuk ke venue EAS dan menyebabkan sidang kemuncak itu dibatalkan.

Thailand akan menyerahkan jawatan pengerusi Asean kepada Vietnam apabila mandatnya berakhir pada 31 Disember ini.

"Suara dan pandangan kolektif Asean mengenai isuisu kedengaran di pentas-pentas utama dunia dan ini menunjukkan semangat berkobar-kobar kerjasama antara kita dan pengiktirafan terhadap matlamat yang dikongsi bersama," katanya semasa berucap menutup Sidang Kemuncak Asean ke-15 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain