suria

Letupan dua kereta bom bunuh sekurang-kurangnya 90, cedera 600

Anggota-anggota polis dan tentera mengawal keadaan huru-hara di luar bangunan Kementerian Kehakiman. -Foto AFP
Anggota-anggota polis dan tentera mengawal keadaan huru-hara di luar bangunan Kementerian Kehakiman. -Foto AFP
Anggota-anggota polis dan tentera mengawal keadaan huru-hara di luar bangunan Kementerian Kehakiman. -Foto AFP

BAGHDAD: Dua kereta bom meletup di Kementerian Kehakiman dan Buruh serta pejabat di pusat bandar Baghad pada Ahad dan serangan tersebut membunuh sekurang-kurangnya 90 orang awam dan mencetuskan huru-hara di ibu negara Iraq.

Kira-kira 600 orang turut cedera dalam siri serangan tersebut yang berlaku selang beberapa minit pada pukul 10:30 pagi (0730 GMT).

Pengeboman itu menyebabkan mayat-mayat dan cebisannya yang terbakar bergelimpangan di jalan-jalan raya.

Siri serangan itu juga memusnahkan berpuluh-puluh kereta serta merosakkan paip air sehingga air kotor terpancut dia jalan-jalan raya yang berdekatan.

Pihak berkuasa menutup jalan-jalan menghala ke lokasi-lokasi pengeboman. Trak-trak bomba dan ambulans terpaksa mengharungi kesesakan trafik untuk tiba di bangunan-bangunan yang terbakar.

Salah satu serangan bom berlaku di persimpangan yang sibuk berdekatan Kementerian Kehakiman dan Buruh, sementara satu lagi serangan bom berlaku di kawasan Salhiyeh yang terletak bertentangan dengan pejabat-pejabat kerajaan.

Sekurang-kurangnya 90 orang terbunuh dan 632 cedera, menurut rekod yang diperolehi daripada empat hospital di pusat bandar Baghad iaitu Al-Karama, Ibn Nafis, Medical City dan Yarmuk.

Sejurus siri serangan bom tersebut, Perdana Menteri Iraq Nuri al-Maliki melawat kawasan pengeboman Saliyeh. Beliau bercakap dengan pegawai-pegawai dan pegawai-pegawai keselamatan tetapi tidak memberikan sebarang kenyataan media.

"Kenapa lakukan ini kenapa kami?" jerit seorang lelaki yang hanya ingin dikenali sebagai Mohammed. Dia duduk berdekatan dengan bangunan yang hampir musnah dan bajunya dipenuhi dengan kesan-kesan darah.

"Semua ini kerana pilihan raya - mereka ingin menentang kerajaan," katanya yang merujuk kepada pilihan raya awam yang dijadualkan pada Januari depan.

Asap tebal menyelubungi kawasan-kawasan pengeboman dan api menjilat dua bangunan. Tingkap-tingkap pada bangunan tersebut pecah ekoran impak bom.

Para penyelamat di Salhiyeh berkata mereka terpaksa membalut mayat-mayat dengan selimut sebelum memungutnya kerana terlalu panas.

Ahli-ahli bomba pula menggunakan tangga untuk mencapai tingkat-tingkat atas kementerian-kementerian bagi mengesan mangsa-mangsa yang mungkin terperangkap di situ. Beberapa buah helikopter kelihatan berterbangan.

Siri letupan bom itu merupakan peringatan kepada pengeboman dashyat yang memusnahkan Kementerian Luar Negara dan Kewangan pada 19 Ogos lalu. Seramai 100 orang terbunuh dalam insiden itu.

Pengeboman terbaru itu berlaku tatkala pemimpin-pemimpin politik Iraq bakal bertemu untuk mengakhiri satu kemelut undang-undang pilihan raya yang mungkin menangguhkan pilihan raya pada 16 Januari tahun depan.

Mesyuarat itu sepatutnya berlangsung pada 3.30 petang (1230 GMT). Tidak terdapat maklumat berhubung sama ada mesyuarat dapat diteruskan seperti yang dirancangkan.

Dalam satu temuramah Sabtu lalu, Leftenan Jeneral Ali Ghaidan Majeed yang juga panglima tentera darat Iraq memberi amaran aktiviti-aktiviti pengganas mungkin meningkat menjelangnya pilihan raya pada Januari tahun depan.

Katanya, keselamatan hanya akan menjadi stabil pada pertengahan tahun depan selepas pemindahan kuasa kepada kerajaan baru.

"Saya bimbang dalam tempoh antara sekarang sehingga Julai tahun depan. Barangkali aktiviti-aktiviti keganasan akan meningkat terutamanya sepanjang pilihan raya dan selepas pemindahan kuasa," katanya.

Serangan pengganas telah berkurangan secara drastik berbanding setahun lalu. Kematian ekoran keganasan pada bulan September adalah terendah sejak Mei lalu. Bagaimanapun, rekod kematian masih dikira tinggi mengikut piawaian antarabangsa.

Pemberontak-pemberontak masih berupaya melancarkan serangan berprofil tinggi terutama di Baghdad dan bahagian utara bandar Mosul yang membunuh puluhan orang. AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain