suria

Najib tiba di Hua Hin untuk Sidang Kemuncak Asean ke-15

HUA HIN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini hari ini untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-15 dan mesyuarat kumpulan serantau dengan enam rakan dialog.

Ketibaan Najib di lapangan terbang Hua Hin disambut Menteri Penerangan dan Teknologi Maklumat Thailand Ranongruk Suwanchawee dan Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Husni Zai Yaakob.

Beberapa jam sebelum itu, Najib yang juga Menteri Kewangan, membentangkan Bajet 2010 di Parlimen.

Sebaik tiba di hotel Sheraton, Najib menanda tangani buku bagi mendoakan kesihatan King Bhumibol Adulyadej yang kini dirawat di Hospital Siriraj di Bangkok sejak sebulan lalu.

Menteri Luar Datuk Anifah Aman mewakili Najib pada majlis pembukaan Sidang Kemuncak Asean dan pelancaran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Antara Kerajaan Asean (Aichr) bagi menggalakkan dan melindungi hak asasi manusia di rantau ini, pada sebelah pagi.

Semasa berada di sini selama tiga hari, Najib dijadualkan mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatan dari negara anggota Asean dan rakanrakan dialog.

Kumpulan 10 pemimpin itu akan menghadiri pemukiman hari ini sebelum sidang Kemuncak Asean + 1 dengan China, Jepun, Korea Selatan dan India, dan begitu juga dengan sidang kemuncak Asean+3 ke-12.

Sidang Kemuncak Asia Timur ke-4 membabitkan Australia, China, India, Jepun, New Zealand dan Korea Selatan akan diadakan pada Ahad diikuti Kawasan Pertumbuhan Asean-Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMPEAGA) keenam yang akan dipengerusikan Najib.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain