suria

Muhammad Shafee wakili Malaysia dalam badan hak asasi manusia Asean

HUA HIN: Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Datuk Muhammad Shafee Abdullah telah dilantik sebagai wakil Malaysia ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Antara Kerajaan Asean (Aichr).

Menteri Luar Datuk Anifah Aman berkata nama peguam terkemuka itu diluluskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas dicadangkan oleh Wisma Putra.

Beliau berkata Muhammad Shafee dicalonkan kerana Malaysia memerlukan wakil yang mempunyai integriti, pengetahuan dan prihatin terhadap hak asasi manusia.

"Beliau (Muhammad Shafee) berupaya mewakili Malaysia dengan cemerlang dan mempertahankan dakwaan yang dilemparkan terhadap kita. Kita memilih peguam terkemuka sebagai wakil kita untuk menunjukkan betapa serius kita dalam soal ini dan ia bukan bermotifkan politik," katanya kepada pemberita sejurus tiba di sini untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean Ke-15 dan sidang-sidang kemuncak berkaitan.

Badan itu, mekanisme hak asasi serantau pertama di rantau Asia Pasifik, bermatlamat menggalakkan dan melindungi hak asasi manusia dalam perkumpulan itu, akan dilancarkan oleh 10 pemimpin negara anggota Asean di sini pada Jumaat.

Bidang tugas Aichr diluluskan pada Mesyuarat Ke42 Menterimenteri Luar Asean yang diadakan di Phuket Julai lepas.

Tempoh khidmat setiap wakil ialah bagi penggal tiga tahun.

Mengenai kritikan oleh kumpulan pejuang hak asasi manusia bahawa Aichr sebenarnya "tidak bertaring" kerana badan itu tidak boleh campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara anggota, Anifah berkata badan itu tidak sempurna.

"Perlu ada langkah pertama untuk memulakan standard hak asasi manusia. Anda tidak boleh sewenangwenangnya menyuruh setiap orang mematuhi standard tertentu.

"Setiap orang mempunyai keutamaan yang berbeza daripada segi hak asasi manusia," katanya.

Homayoun Alizadeh, Wakil Rantau di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsabangsa Bersatu berkata harapan tinggi diletakkan dengan pelancaran badan itu kerana ia mewakili komitmen penting oleh anggota daripada segi melaksanakan ikrar mereka mengenai hak asasi manusia.

"Ketika Asean berusaha mencapai Wawasan 2020 Asean, yang kini bergerak ke tahun 2015, untuk mewujudkan "komuniti masyarakat penyayang", Aichr perlu berkerja keras untuk membuktikannya sebagai mekanisme serantau yang berwibawa dan membantu merapatkan jurang antara retorik dan realiti mengenai hak asasi manusia," katanya dalam kenyataan. BERNAMA

Artikel Lain