Polis Indonesia tembak mati dua pengganas - Dunia | mStar

Polis Indonesia tembak mati dua pengganas

JAKARTA: Polis Indonesia menembak mati dua lelaki yang disyaki pengganas yang menjadi buruan dalam satu serang hendap di sebuah rumah di Ciputat, Tangerang dekat sini pada tengah hari Jumaat.

Dua pengganas itu yang menjadi buruan polis sejak kejadian pengeboman dua buah hotel di sini pada 17 Julai, dikatakan dua beradik bernama Syaifuddin, yang disyaki merekrut pengebom berani diri dan Syahrir, yang membantu menyiapkan bom.

Mereka dikatakan ditembak mati dalam kejadian berbalas tembak di mana sebutir bom juga sempat dilemparkan di tempat kejadian, menurut media massa online dan stesen televisyen tempatan.

Polis antipengganas Indonesia, yang dikenali sebagai Densus 88, yang sebelum ini mendapat pujian kerana berjaya menembak mati pakar bom Noordin Mohd Top di Jawa Tengah pada 17 September, dikatakan sudah mengintip kawasan rumah sewa dua beradik itu sejak beberapa lama.

Polis juga dilaporkan menangkap seorang lagi lelaki, yang dikatakan pembantu keduadua pengganas itu dalam kejadian itu.

Setakat ini belum ada kenyataan rasmi daripada polis tetapi Ketua Polis Indonesia Jen Bambang Hendarso Danuri, yang dilaporkan sudah melawat tempat kejadian, dijadual mengadakan sidang media di sini petang ini.

Mayat keduadua pengganas itu sudah dibawa ke Hospital Polis di Kramatjati di sini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Semangat kental mangsa gempa bumi Padang

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Neymar terus kekal di PSG?