suria

Rakyat Jepun mula undi, pembangkang diramal cetus gegaran politik

SEORANG pengundi memberi reaksi selepas mengundi di salah sebuah pusat pengundian di Tokyo pagi tadi. AP
SEORANG pengundi memberi reaksi selepas mengundi di salah sebuah pusat pengundian di Tokyo pagi tadi. AP
SEORANG pengundi memberi reaksi selepas mengundi di salah sebuah pusat pengundian di Tokyo pagi tadi. AP

TOKYO: Rakyat Jepun sedang mengundi dalam pilihan raya umum tergempar yang diadakan hari ini, dengan ramalan menyebut pembangkang berpeluang cerah untuk menewaskan parti memerintah - Parti Demokratik Liberal (LDP).

LDP telah menerajui negara itu lebih 50 tahun. Pilihan raya ini dipanggil awal bulan lalu di sebalik krisis ekonomi dunia dan Perdana Menteri Taro Aso, yang menyandang jawatan itu sejak September 2008 untuk mendapatkan mandat baru.

Tinjauan dan kaji selidik media menunjukkan Parti Demokratik Jepun (DPJ) akan menguasai dewan rendah Parlimen dengan kejayaan selesa, sekali gus membawa gegaran politik di negara itu.

Bagaimanapun sesetengah penganalisis menganggap ramalan itu sebagai "sesuatu yang keterlaluan".

Kemenangan DPJ bermakna ia akan mengakhiri penguasaan LDP lebih 50 tahun.

Pemimpin DPJ, Yukio Hatoyama, orang kaya berusia 62 tahun dan cucu kepada bekas Perdana Menteri Jepun, memberitahu pengundinya semalam bahawa pilihan raya kali ini akan mengubah sejarah negara itu.

"Ini merupakan pilihan raya untuk memilih sama ada pengundi wajar mempunyai kesungguhan untuk mengetepikan politik cara lama," katanya.

Media Jepun akan mengumumkan keputusan awal berdasarkan tinjauan umum sebaik sahaja pengundian berakhir 8 malam waktu tempatan (kira-kira 7 petang waktu Malaysia).

Lewat malam akan diketahui keputusan berdasarkan sebahagian undi yang dikira.

Sebanyak 480 kerusi dipertandingkan. Pilihan raya umum sebelum ini diadakan pada tahun 2005. Agensi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain