suria

Mayat tiga rakyat Malaysia dihantar pulang hari ini

NEW DELHI: Polis dan penduduk kampung di kawasan pergunungan Leh di wilayah Kashmir terus mencari seorang rakyat Malaysia yang masih hilang ekoran kemalangan jalan raya pagi semalam yang turut mengorbankan tiga rakyat Malaysia yang lain.

Mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Cheong Swee Chun, 42.

Kemalangan itu berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki dilaporkan terlanggar batu dan terjatuh ke dalam jurang sedalam 70 meter serta terpelanting ke dalam Sungai Indus yang deras di Leh, di Ladakh.

Mayat ketigatiga mereka ditemui di tempat kejadian sementara Cheong tidak dapat dijumpai ekoran arus yang deras.

"Usaha mencari masih dijalankan, kami menggunakan semua peralatan dan kayak, tetapi masih belum berhasil.

"Antara 40 hingga 50 orang terlibat dalam usaha mencari di beberapa lokasi. "Jika air surut, kami mungkin mendapat beberapa petunjuk," kata pegawai polis balai Leh, Mehraj Khalid kepada Bernama.

Mayat mangsa yang meninggal yang kesemuanya wanita, Tan Gua Gnoh, 54, dari Pulau Pinang, Lee Ah Yem, 59, dari Kelantan dan Ang Ee Lee, 52, dari Kedah telah diterbangkan ke Lapangan Terbang Leh, satusatu landasan kapal terbang di Ladakh, ke Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di Delhi tengah hari tadi.

Ladakh terletak di negeri Jammu dan Kashmir, kira-kira 900 kilometer dari Delhi.

Seorang lagi rakyat Malaysia, Lin Bee Wong, 47, yang cedera parah tidak dapat dihantar pulang kerana sakit di bahagian belakang, tetapi keadaannya dilaporkan stabil.

Para mangsa dalam kumpulan kira-kira 30 orang dengan menaiki sembilan kenderaan dipercayai sedang menuju ke sebuah biara Buddha untuk menemui ketua sami apabila kemalangan berlaku.

"Kenderaan yang dinaiki rakyat Malaysia merupakan pacuan empat roda yang baru. Pada ketika ini sukar dikatakan punca kemalangan tetapi dipercayai ia berpunca daripada kecuaian pemandu. Dia juga cedera dan masih tidak boleh berkatakata," kata Mehraj.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Delhi sedang membuat persiapan untuk menghantar pulang mayat tiga rakyat Malaysia itu ke Kuala Lumpur malam ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain