suria

Rundingan Ambalat capai kemajuan, kata Menteri Luar Indonesia

JAKARTA: Rundingan antara Indonesia dan Malaysia mengenai sempadan wilayah yang mengalami tuntutan bertindih di laut Sulawesi, yang dikenali sebagai kawasan Ambalat oleh Indonesia, kini mencapai kemajuan, kata Menteri Luar Negeri Indonesia Hassan Wirajuda hari ini.

Beliau berkata satu daripada kemajuannya ialah kini ada pasukan perunding dari Malaysia yang lebih melancarkan proses perundingan berbanding sebelum ini.

"Pada 20 Julai telah ada pertemuan di Kota Kinabalu, khusus membincangkan masalah sempadan perairan kita baik laut wilayah dan landas kontinen serta Zon Ekonomi Eksklusif," katanya kepada pemberita seperti dipetik agensi berita Antara di Istana Presiden di sini.

Bagaimanapun beliau mengakui belum dapat menyebutkan hasilnya kerana perundingan masih berjalan.

Katanya, Indonesia menyambut baik pasukan perunding Malaysia yang baru itu yang lebih terbuka terhadap idea, konsep dan kaedah dalam proses perundingan yang juga dipersetujui oleh pihak Indonesia.

"Jadi tanda-tandanya positif walaupun saya tidak dapat mengatakan bila akan selesai," katanya, yang menambah bahawa proses perundingan itu mungkin memerlukan waktu yang panjang. Ketika ditanya sebab Indonesia masih menempuh proses perundingan pada hal kedudukan Indonesia di kawasan Ambalat kini kuat, Hassan berkata dalam konvensi undang-undang laut antarabangsa 1982, sempadan perairan tidak boleh dituntut oleh satu pihak saja melainkan mesti melalui kesepakatan rundingan dengan pihak lain.

"Konvensi hukum laut (UNCLOs) 1982 sangat jelas menyebut sempadan laut itu seperti juga darat, adalah satu produk dari perundingan, atau dengan kata lain kita tidak boleh menetapkan batas laut kita secara sepihak.

"Kita juga tidak boleh menduduki katakanlah, secara ketenteraan, kerana garis batas perairan harus merupakan hasil dari perundingan," katanya. BERNAMA

Artikel Lain