suria

Megawati-Prabowo persoal kualiti pilihan raya presiden

JAKARTA: Calon Presiden Megawati Sukarnoputri dan calon Wakil Presidennya Prabowo Subianto hari ini mempersoalkan kualiti pilihan raya langsung presiden Indonesia pada 8 Julai lepas, sama ada ia benar-benar dilaksanakan secara demokratik, jujur dan adil.

Beliau yang ditemui pemberita selepas merasmikan mesyuarat kerja nasional Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) di Lenteng Agung di sini hari ini berkata walaupun pilihan raya itu sudah berlalu, namun apa yang menjadi persoalan ialah sekiranya ia dijalankan dengan benar-benar demokratik.

Megawati yang dipetik agensi berita Antara berkata, persoalanan itu timbul ekoran banyaknya laporan dan pengaduan dari akar umbi mengenai wujudnya pelanggaran peraturan pada pilihan raya itu.

Hasil pengiraan cepat (quick count) oleh beberapa lembaga survei menunjukkan penyandang presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan pasangannya Boediono mendahului dua lawannya dengan mendapat lebih 60 peratus undi.

Bagaimanapun keputusan rasmi hasil pengundian yang melibatkan 176 juta pengundi berdaftar itu akan diumumkan oleh Komisi Pemilihan Umum (KPU) akhir bulan ini.

Sementara itu Presiden Susilo hari ini dilaporkan tidak datang ke Badan Pengawas Pilihan raya Presiden untuk memberi keterangan mengenai tuduhan bahawa beliau berkempen secara rahsia apabila mengadakan 'teleconferencing' dengan ketua-ketua daerah pada 7 Julai.

"Susilo tidak datang hari ini kerana berada di Kalimantan untuk menghadiri sambutan Hari Koperasi," kata Setiausaha Pasukan Kempen Nasional SusiloBoediono, Marzuki Ali, di pejabat badan itu di sini.

Marzuki hadir bersama ketua pasukan itu Hatta Radjasa dan penasihat undangundang Amir Syarifudin mewakili Susilo memenuhi undangan badan tersebut kira-kira pukul 10 pagi dan memberi penjelasan bahawa teleconference itu bukan untuk berkempen sebagai calon tetapi sebagai penyandang presiden.

Marzuki menegaskan pada teleconference itu yang turut dihadiri wakil-wakil KPU, Susilo meminta kerjasama semua ketua daerah membantu memastikan pilihan raya presiden berjalan lancar, selain bertanya mengenai persiapan pilihan raya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain