suria

Palestin desak Israel jangan sia-siakan peluang damai

KUALA LUMPUR: Ketua Perunding Palestin, Dr Saeb Erakat menggesa kerajaan Israel jangan mensia-siakan peluang damai sekarang memandangkan sokongan menyeluruh antarabangsa terhadap penyelesaian konflik Palestin-Israel menerusi pewujudan dua negara.

Beliau berkata keazaman politik antarabangsa untuk menyelesaikan konflik itu tidak pernah begitu kuat dan padu seperti kini.

"Ini memberikan kita peluang unik bagi mencapai perdamaian menyeluruh," kata Dr Erakat dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh Kedutaan Palestin di sini.

Beliau berkata kerajaan Israel perlu mengambil kesempatan dari peluang ini, dan bukan mensia-siakannya dengan "cuba menukar ganti satu obligasi perjanjian damai, Road Map, dengan yang lain, tanpa melaksana mana-mana obligasinya dengan sepenuhnya".

Di bawah Road Map itu, Israel bersetuju melaksanakan pembekuan sepenuhnya terhadap semua aktiviti penempatan, termasuk di dalam dan sekitar Baitulmaqdis Timur yang didudukinya dan ini termasuk semua "tumbuhan semula jadi", kata Dr Erakat.

Menurut laporan pada Selasa, Israel merancang membina unit-unit kediaman tambahan di penempatan Adam, termasuk 50 unit untuk penduduk yang diusir dari penempatan Migron.

Adam terletak berhampiran Bitulmaqdis sementara Migron adalah salah sebuah penempatan outpost terbesar di Tebing Barat.

Rejim Israel sedang bertindak menggabungkan rampasan tanah Palestin seluas 139,000 dunum (unit bagi mengukur tanah digunakan di Timur Tengah Satu ekar = 4.047 dunum) yang diduduki yang menganjur dari Ma'ale Adummin hingga ke Nabi Mousa, ke Laut Mati dengan mendaftarkannya sebagai 'tanah negara'.

"Dengan perkataan dan perbuatan, Israel terus tidak menghiraukan obligasinya di bawah Road Map, serta menentang tuntutan antarabangsa agar ia menghentikan semua aktiviti penempatan.

"Road Map adalah jelas. Sama ada Israel menghentikan kesemua aktiviti penemptan, atau ia meneruskan aktiviti penempatan dengan melanggar obligasi Road Map. Tidak ada jalan tengah," katanya.

Mengenai penghapusan pusat pemeriksaan Israel, Dr Erakat mencabar dakwaan Israel berhubung 'kelancaran pergerakan rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki'.

"...Ini sasaran rejim (Isreal) terhadap seluruh rakyat Palestin, menyebabkan kehidupan seharian begitu sukar...ia menghancurkan ekonomi rakyat Palestin. Rakyat Palestin tidak akan memperdagang hak dan kebebasan kami," kata Dr Erakat. BERNAMA

Artikel Lain