suria

Malaysia minta Perancis desak Israel henti bina penempatan haram - Muhyiddin

PARIS: Malaysia hari ini menggesa Perancis menggunakan pengaruhnya mendesak Israel supaya menghentikan pembinaan penempatan haram di tanah milik Palestin yang menimbulkan kemarahan masyarakat antarabangsa, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.

Muhyiddin berkata gesaan itu telah disuarakan dalam pertemuannya dengan Menteri Luar serta Hal Ehwal Eropah Bernard Kouchner petang Selasa.

Katanya Malaysia menggesa Presiden Perancis Nicolas Sarkozy serta kerajaan negara itu supaya menggunakan hubungan akrabnya dengan kerajaan Israel pimpinan Benjamin Netanyahu bagi mencari jalan penyelesaian segera berhubung kemelut yang melanda rakyat Palestin.

"Malaysia telah menyuarakan pandangan bahawa apapun perkara berbangkit di sana (Palestin) sepatutnya negara sekutu rapat Israel seperti Amerika Syarikat dan Perancis membawa keduadua pihak yang bertelagah ke meja rundingan bagi mencari penyelesaian terhadap isu itu yang telah lama berlarutan," katanya kepada pemberita Malaysia yang membuat liputan lawatan kerjanya selama tiga hari ke Perancis yang berakhir hari ini.

Gesaan itu timbul ekoran pengumuman Israel barubaru ini yang memperuntukkan dana sebanyak AS$250 juta (RM900 juta) dalam tempoh dua tahun akan datang bagi membina kawasan penempatan Yahudi di wilayah Palestin di Tebing Barat tanpa mempedulikan tekanan Amerika Syarikat supaya aktiviti tersebut dihentikan.

Muhyiddin berkata selain isu Palestin, mereka juga telah membincangkan pelbagai isu antarabangsa yang lain termasuk masalah di Myanmar serta perkembangan politik dan enonomi di Asean.

Muhyiddin berkata Malaysia dan Perancis juga bersetuju untuk meningkatkan hubungan dua hala dalam pelbagai bidang seperti perdagangan, pelancongan dan pendidikan.

Mengenai lawatannya itu, Muhyiddin berkata ia membawa banyak faedah kepada Malaysia dari segi hubungan dua hala antara keduadua buah negara terutama dari segi pendidikan, pelancongan serta hubungan perdagangan.

"Sepanjang pertemuan dengan menteri serta pemimpin pertubuhan perniagaan di Perancis mereka telah menyuarakan minat untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala yang sedia terjalin serta menambah pelaburan di Malaysia," katanya.

Muhyiddn akan berlepas pulang ke tanah air pada 7 malam waktu tempatan (1 pagi waktu Malaysia). BERNAMA

Artikel Lain