suria

Selatan Thai perlukan autonomi cendekiawan Thai

BANGKOK: Autonomi untuk tiga wilayah bergolak di Selatan Thai dan pengagihan kuasa pusat kepada penduduk tempatan adalah cara terbaik untuk menyelesaikan konflik yang berpanjangan itu, kata cendekiawan Thai dan penyokong keamanan.

Praves Wasi, dari Institut King Prajadhipok berkata struktur kuasa pada masa ini yang berpusat di Bangkok tidak sesuai untuk masyarakat majmuk seperti Thai, dan menyatakan bahawa punca sebenar yang menyebabkan konflik ialah penggunaan satu struktur kuasa di negara itu.

"Perlu ada pentadbiran bersama melalui pengagihan kuasa pusat. Bukan hanya di tiga wilayah selatan itu, tetapi juga di wilayah lain kerana kita mempunyai masyarakat yang pelbagai dengan budaya, agama dan bahasa yang berbeza," kata bekas naib presiden Suruhanjaya Perdamaian Negara (NRC) itu.

Praves berkata demikian ketika bercakap ceramah bertajuk "Politik Melebihi Tentera: Penyelesaian untuk Mengekalkan Keamanan di Selatan Thailand," yang dihadiri wakil agensi kerajaan, tentera, pertubuhan bukan kerajaan, ahli akademik dan kedutaan asing.

Sambil memberi contoh Switzerland, Praves berkata negara itu dibentuk daripada masyarakt dengan pelbagai latar belakang seperti Perancis, Itali, Jerman dan Swiss, dan dengan tiga bahasa rasmi yang berbeza tetapi mampu untuk membina masyarakat yang aman dan ekonomi yang kukuh.

"Hakikatnya pengagihan kuasa pusat akan membantu mengurangkan rasuah dan mengekalkan keamanan. Jika kita boleh melakukannya, negara boleh menikmati keamanan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang," katanya.

Lebih 3,500 orang terbunuh sejak Januari, 2004 apabila kumpulan pemisah memulakan semula gerakan bersenjata untuk menuntut kemerdekaan tiga wilayah yang mempunyai majoriti penduduk Islam iaitu Yala, Narathiwat dan Pattani.

Kerajaan Thai setakat ini menolak permintaan autonomi atau status zon pentadbiran khas untuk wilayah selatan.

Satu daripada masalah utama yang menyumbang kepada konflik ialah kurangnya ketelusan, kepercayaan dan keadilan di selatan, kata Praves, sambil merujuk kepada kejadian di Tak Bai di mana mangsa mendakwa keadilan mereka dinafikan. Sejumlah 85 orang terbunuh dalam kejadian pada Oktober 2004.

Beliau berkata penduduk tempatan memerlukan bantuan untuk mengatasi kemiskinan dan kerajaan perlu mewujudkan industri makanan halal di Pattani dan nelayan serta petani boleh menghasilkan produk berkualiti tinggi dan berorientasi eksport.

Selain itu, beliau berkata Pattani boleh dipromosi sebagai pusat pengajian Islam. "Pattani pernah terkenal kerana pengajian Islam. Kita boleh belajar dari orang Islam dan kita boleh membina rangkaian dengan masyarakat Islam dari seluruh dunia," katanya.

Pejuang hak asasi manusia Angkhana Neelaphaijit berkata walaupun penglibatan akar umbi penting untuk menghapuskan kemiskinan, pegawai tentera tidak mahu mengambil idea daripada penduduk tempatan atau memberi peruntukan kepada mereka.

"Beberapa agensi keselamatan mencadangkan penduduk tempatan tidak perlu meminta atau mencadangkan program yang memerlukan bajet daripada mereka. Untuk mereka (tentera) ia seolaholah menjadikan musuh semakin kuat," katanya.

Angkhana juga berkata wilayah autonomi Mindano di Selatan Filipina gagal kerana ia tidak mempunyai penglibatan rakyat atau pengagihan kuasa pusat. BERNAMA

Artikel Lain