suria

Najib sampai ucaptama pada Persidangan Unesco Oktober ini

PARIS: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan diberikan penghormatan untuk menyampaikan ucaptama di Persidangan Unesco yang akan diadakan di sini pada 6 Okt depan.

Beliau akan menjadi pemimpin Malaysia pertama dalam sejarah hubungan 50 tahun Malaysia dengan Unesco yang diberi peluang menyampaikan ucaptama pada sesi pembukaan persidangan itu nanti.

Perkara itu dijelaskan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada wartawan Malaysia setelah mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Unesco Koichiro Matsuura di pejabat pertubuhan dunia itu di sini Isnin.

"Saya telah sampaikan surat daripada Perdana Menteri kepada beliau (Matsuura) tentang persetujuan Perdana Menteri menerima jemputan daripada Matsuu ra untuk menyampaikan ucaptama dalam sesi plenari persidangan Unesco pada 6 Okt.

"Ini merupakan detik bersejarah kerana belum pernah dalam sejarah Unesco seorang pemimpin kerajaan negara kita dijemput berucap dalam persidangan penting itu dan ini merupakan satu penghormatan kepada pucuk pimpinan negara. "Matsuura menyatakan rasa sukacita dan berterima kasih kepada Perdana Menteri atas kesudiannya untuk hadir dan menyampaikan ucaptama," kata Muhyiddin.'

Beliau berkata ini merupakan kesempatan kepada Perdana Menteri untuk menyampaikan misi dan visi beliau untuk perhatian dunia bukan sahaja dalam soal pendidikan tetapi juga perkara lain yang mencakupi kepentingan badan dunia itu.

Timbalan Perdana Menteri tiba di sini Isnin untuk lawatan kerja tiga hari bagi meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang terutama pendidikan dan latihan, penyelidikan dan pembangunan serta perdagangan dan pelaburan. BERNAMA

Artikel Lain