suria

Gabenor Songkhla minta kad lawatan Malaysia dikembalikan

PADANG BESAR: Gabenor Songkhla, Dr Sondhi Tejanant meminta Malaysia mengembalikan kemudahan kad lawatan, atau lebih dikenali sebagai "kad 117" bagi memudahkan rakyat Thailand memasuki pekan sempadan di sebelah Malaysia, terutama bagi melawat keluarga dan membeli-belah.

Beliau berkata sejak kerajaan Malaysia menghapuskan kemudahan itu awal tahun lepas, rakyat Thailand mendapati sukar bagi mereka memasuki pekan Padang Besar di sebelah Malaysia.

Rayuan itu dibuat pada mesyuarat hubungan dua hala PerlisWilayah Songkhla yang disertai oleh para pegawai kanan pentadbiran wilayah itu serta pegawai kanan kerajaan negeri Perlis.

Dr Sondhi yang mengetuai delegasi Songkhla pada mesyuarat selama dua jam itu ketika ditemui berkata, penduduk Thailand menghadapi masalah sejak kemudahan itu ditarik balik, terutama bagi mereka yang sering berurusan di pekan Padang Besar sebelah Malaysia.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri Perlis, Ahmad Bakri Datuk Ali yang mengetuai delegasi Perlis pada mesyuarat itu berkata, kerajaan negeri akan memanjangkan rayuan itu kepada kerajaan pusat.

"Kami akan sediakan kertas kerja untuk dikemukakan kepada mesyuarat Exco kerajaan negeri dan jika dipersetujui, perkara itu akan dipanjangkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk dibentang pada mesyuarat kabinet," katanya.

Katanya jika kerajaan bersetuju untuk mewujudkan semula kad lawatan menggunakan borang IM.117 itu, kerajaan negeri berharap ciriciri keselamatan pada kad itu ditambah bagi memastikan keselamatan di pekan sempadan itu sentiasa terjamin.

Kemudahan yang diperkenalkan pada 1990 khusus untuk pekan Padang Besar itu ditarik balik pada Februari 2008 atas sebabsebab keselamatan, menyebabkan kegiatan perniagaan di pekan Padang Besar merosot dengan ketara kerana mereka terlalu bergantung kepada kehadiran pelanggan dari Thailand.

Kad tersebut sebelum ini dikeluarkan secara percuma kepada penduduk Thailand untuk memasuki Malaysia ke pekan Padang Besar dengan syarat mereka pulang ke negara Thailand pada hari yang sama atau tidak lewat daripada pukul 10 malam.

Ahmad Bakri berkata sebelum ini kerajaan pusat mengembalikan kemudahan pergerakan bebas tanpa dokumen di sempadan PerlisSatun di Wang Kelian, dan beliau percaya perkara yang sama boleh dilakukan di sempadan PerlisSongkhla di Padang Besar.

Mesyuarat yang berlangsung di Kompleks Imigresen Padang Besar, Thailand itu turut mendapat liputan media Thailand. BERNAMA

Artikel Lain