suria

Penularan H1N1 di kalangan masyarakat meningkat di Singapura

SINGAPURA: Singapura mengesahkan 26 lagi kes baru Influenza A (H1N1) sehingga semalam, membabitkan 17 kes tempatan dan sembilan kes yang mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes yang disahkan di Singapura kini ialah 168.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya di sini hari ini berkata penularan di kalangan masyarakat semakin meningkat dengan lebih banyak kes penularan tempatan dilapor.

Kementerian itu berkata ia kini menambah poliklinik tempatan dan beberapa ratus doktor untuk merawat kes yang disyaki, dan klinik-klinik terbabit akan membantu menguruskan pesakit yang mempunyai simptom influenza apabila kerajaan menukar langkah daripada membendung kepada pengurangan.

Tujuh belas kes penularan tempatan membabitkan kes yang menghadiri acara di gereja, kelab hiburan dan kem keagamaan.

Sembilan kes import pula terdiri daripada mereka yang pernah ke Australia, Filipina, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Kanada. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain