suria

Singapura bebaskan anggota JI

SINGAPURA: Seorang anggota rangkaian Jemaah Islamiah (JI) Singapura, yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kerana merancang serangan ganas terhadap sasaran di Thailand, dibebaskan di sini semalam.

Kementerian Dalam Negeri hari ini berkata Arifin bin Ali @ John Wong Ah Hung, 48, kini diletakkan di bawah Perintah Terhad (RO) akta yang sama.

Arifin melarikan diri dari negara ini pada Disember 2001 apabila pihak berkuasa melancarkan gerakan bagi membanteras rangkaian JI.

Dia kemudiannya ditahan di Bangkok oleh pihak berkuasa Thailand pada Mei 2003 dan dihantar pulang ke Singapura.

Semasa bersembunyi di Thailand, dia menyertai satu kumpulan yang merancang melakukan serangan ganas terhadap sasaran di negara itu, kata kementerian berkenaan dalam kenyataannya.

Kementerian itu juga mengumumkan bahawa seorang lagi rakyat tempatan, yang menganggotai Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di Filipina dan ditangkap April lepas, turut diletakkan di bawah Perintah Terhad selama dua tahun bermula 6 Mei lepas.

Ahmad Jalaluddin bin Sanawi, 53, telah menjalani latihan ketenteraan di kem MILF di Filipina dan terlibat dalam kegiatan memungut derma bagi menyokong perjuangan MILF, kata kementerian itu.

Ahmad meninggalkan Singapura pada Disember 2001 dan bersembunyi di luar negara bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.

Dia bagaimanapun menyerah diri kepada polis tempatan April lepas, menurut kenyataan itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain