suria

Pemberontak akan heret PBB campur tangan dalam konflik Selatan Thai - Gabenor

PATTANI: Pemberontak kini beralih kepada menyerang institusi agama di tiga wilayah yang bergolak di selatan Thai bagi menarik perhatian antarabangsa, kata Gabenor Pattani Ponthep Siyapan hari ini.

Katanya pembunuhan kejam di sebuah masjid di daerah Chaairong di Narathiwat dan pembunuhan seorang sami di Yala minggu ini merupakan sebahagian daripada percubaan kumpulan pemberontak untuk memalukan kerajaan Thai dan mensabotaj usaha bagi menamatkan keganasan selama lima tahun.

Bercakap kepada pada majlis penyampaian derma kepada sami dan dana kepada 266 kuil di wilayah Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla di sini, Ponthep berkata serangan ke atas penganut dan tempat ibadat merupakan tindakan ganas oleh para pemberontak untuk membawa konflik itu ke peringkat antarabangsa dan mengheret Pertubuhan Bangsabangsa Bersatu (PBB) di dalam masalah itu.

"Mereka mahu PBB campurtangan dalam isu selatan supaya mereka boleh memerintah wilayah itu sendiri satu hari nanti.

Jika PBB campur tangan dalam konflik itu, ia akan menyukarkan kerajaan Thai bagi menghentikan pemberontakan itu," katanya.

Ponthep berkata waktu serangan ke atas masjid Kampung Air Tempayan yang membunuh 10 orang pada Isnin lepas merupakan petanda jelas niat pemberontak itu kerana ia berlaku pada waktu yang sama dengan lawatan Perdana Menteri Thai Abhisit Vejjajiva ke Malaysia.

"Ia berlaku pada hari yang sama Abhisit melawat Malaysia di mana beliau meminta bantuan daripada mereka untuk menamatkan konflik itu. Pemberontak mahu menunjukkan kepada Malaysia bahawa Thailand tidak dapat mengawal keadaan dan tidak dapat melindungi keselamatan orang Islam," katanya.

Tiga wilayah yang bergolak itu dianggap sebagai kawasan tengah orang Melayu yang mempunyai penduduk 1.6 juta orang termasuk kirakira 130,000 penganut Buddha.

Pada Isnin lepas, 10 penduduk tempatan ditembak mati manakala 12 lagi cedera semasa menunaikan solat Isyak di masjid AlFurqan. Dalam respons segera, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) mengutuk serangan bersenjata itu.

Para penduduk mendakwa serangan dilakukan oleh kumpulan yang tidak dikenali sebagai membalas pembunuhan seorang penoreh getah beragama Buddha sehari sebelum itu di sebuah kampung berdekatan.

Pada Jumaat, seorang sami ditembak mati manakala seorang lagi cedera di Yala.

Lebih daripada 3,700 orang, kebanyakannya orang awam, telah terbunuh sejak kumpulan pemisah menuntut kemerdekaan, bagi tiga wilayah yang majoritinya penduduknya adalah orang Islam, menyambung semula kempen bersenjata pada Januari 2004.

Bangkok telah menempatkan kirakira 60,000 anggota keselamatan bagi menghadapi pemberontakan itu tetapi menghadapi kesulitan memandangkan para pemberontak itu menggunakan taktik gerila, termasuk pengeboman tepi jalan, perbuatan membakar dengan sengaja dan tembakan rambang. BERNAMA

Artikel Lain